TANJUNG MALIM: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan bercemar duli merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, hari ini.
Sempena majlis istiadat berkenaan, baginda yang juga Canselor UPSI turut berkenaan menyampaikan ijazah kepada 586 graduan, membabitkan 123 graduan ijazah doktor falsafah (PhD), 191 graduan ijazah sarjana dan 272 graduan ijazah sarjana muda.
Baki graduan akan menerima ijazah masing-masing pada sesi kedua hingga kesembilan.
Pada sesi pertama juga, baginda menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris yang bergiat aktif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Noraini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, dan juga pernah menjadi pengarang jurnal bertaraf antarabangsa, selain berjaya menghasilkan lebih 30 buku secara bersendirian dan bersama rakan penyelidik bagi memantapkan ilmu
Tuanku Zara turut menyampaikan Anugerah Pelajaran di-Raja kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian, Muhammad Luqman Hakim Mohd Hanapiah dan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian, Liew Siew Ling.
Istiadat konvokesyen kali ini berlangsung sebanyak sembilan sesi, membabitkan seramai 6,067 graduan peringkat ijazah dan diploma. Daripada jumlah itu, 123 adalah graduan PhD, ijazah sarjana (585), ijazah sarjana muda (4,141), diploma pendidikan lepasan ijazah (149) dan diploma (1,069).
Yang turut hadir, Pro Canselor UPSI, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dan Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapannya, berkata UPSI terus mengatur langkah cemerlang dalam mempelbagai rupakan bakat pelajar selepas mahasiswanya cemerlang di persada antarabangsa.
Antaranya, johan Ganda Putra Kejohanan Silat Dunia Ke-19, ' Young Southeast Asian Leaders Initiative' di Hawaii, Amerika Syarikat dan johan keseluruhan Kostum Terbaik 'Festival Of Colours of the World 2022', selain 91 atlet UPSI terpilih beraksi pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
"Inisiatif pengantarabangsaan UPSI diimarahkan melalui kolaborasi strategik bersama University of Sydney, Australia dan Chircik State Pedagogical of Tashkent Region (CHDPI).
"Kolaborasi strategik dengan Umorie Graphene Technologies pula bagi pembangunan bateri kenderaan elektrik yang bakal dibangunkan di Pusat Latihan dan Penyelidikan Automotif di UPSI," katanya.
Bagi memartabatkan bahasa dan budaya Melayu di persada dunia, beliau berkata, UPSI mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan di Lomonosov Moscow State University, Rusia; Uzbekistan World Language University Tashkent dan University of Dhaka, Bangladesh.
Md Amin berkata, demi memastikan kemampanan ekosistem, UPSI giat menaik taraf kemudahan sukan, rekreasi dan alam hijau di KSAS, termasuk membina pusat kesihatan dan Kompleks Boling 24 lorong bertaraf antarabangsa yang dijangka siap pada 2023.