KUALA LUMPUR: Berapa jumlah pelantikan menteri kabinet wanita bukan persoalan utama sebaliknya, semua lima yang dilantik diberi portfolio penting, iaitu pendidikan, undang-undang, belia dan sukan, kesihatan dan pembangunan wanita .
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata tiga menteri wanita yang dilantik masih muda, iaitu Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan; Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan).
Malah, katanya, pelantikan Datuk Seri Azalina Othman sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menguatkan lagi pembabitan pemimpin wanita di negara ini.
"Justeru, apa yang penting, kerajaan mesti berlandaskan integriti dan semua Ahli Parlimen diharapkan lebih matang kerana Kabinet Kerajaan Perpaduan memerlukan semua orang mesti memberi kerjasama," katanya yang juga Profesor Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan 28 menteri Kerajaan Perpaduan, kabinet lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan yang terbentuk sebelum ini.
Bagi aktivis Kesaksamaan Gender yang juga wartawan penyiaran bebas, Tehmina Kaoosji, berkata keputusan Anwar adalah tepat kerana tiga portfolio penting, iaitu undang-undang, pendidikan dan kesihatan diberikan kepada menteri wanita.
"Ini menunjukkan wanita diberikan peranan penting yang berkait rapat dengan kehidupan dan walaupun tidak sampai 20 peratus, mereka diberikan portfolio strategik," katanya dalam ciapan twitter.
Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan, berharap barisan Kabinet baharu dapat menunjukkan kesepakatan untuk berkhidmat kepada rakyat dan berada dekat dengan akar umbi supaya memberi kehidupan lebih baik kepada masyarakat.
"Bilangan menteri wanita itu masih masa dengan Kabinet terdahulu dan memang keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak memberikan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan secara solo.
"Namun pada saya, menteri tidak lagi mengeluarkan kenyataan kontroversi dan Parlimen memerlukan pembangkang yang kuat supaya menjadi mata telinga mulut kepada rakyat serta memperbetulkan apa yang Kerajaan Perpaduan siap lakukan," katanya.
Katanya, selain memberikan peluang dan ruang kepada pemimpin, setiap menteri yang dilantik perlu menggalas tanggungjawab sepenuhnya dan ada kalangan menteri dirasakan tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik berikutan masih hijau.
"Sebagai contoh Hannah diakui memang cemerlang ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), tetapi diberikan portfolio belia dan sukan, portfolio Pendidikan dan Kesihatan, diberikan orang baru tetapi kedua-dua bidang itu sangat penting dan kritikal.
"Jadi sebagai rakyat kita bimbang mereka tiada pengalaman mencukupi dan apapun barisan Kabinet diharap tidak mempersiakan
peluang yang Perdana Menteri berikan," katanya.