Sabtu, 3 Disember 2022 | 4:10pm
RAFIZI (kiri) dan Ahmad Zahid. FOTO arkib NSTP
RAFIZI (kiri) dan Ahmad Zahid. FOTO arkib NSTP

Rafizi, Zahid jadi 'sasaran' di Twitter

KUALA LUMPUR: Langkah membisu diambil Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, selepas diumumkan sebagai anggota Kabinet, membuatkan namanya 'trending' bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Twitter, hari ini.

Ia kerana nama dua ahli politik itu paling banyak 'dipetik' pengguna platform berkenaan, selepas pengumuman barisan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Tinjauan di Twitter mendapati 112,000 pengguna Twitter memetik nama Ahmad Zahid pada ciapan mereka, manakala lebih 10,000 menulis ciapan berkaitan Rafizi.

Pelbagai pandangan dilontarkan pengguna Twitter terhadap Ahmad Zahid yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ada yang sudah dapat menduga Ahmad Zahid akan menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana tersebarnya khabar angin di laman sosial sebelum pengumuman dibuat.

Tidak kurang juga yang mempertikaikan pelantikan Ahmad Zahid dengan mengaitkan beliau sebagai 'kluster mahkamah.'

Sementara itu, rata-rata pengguna Twitter juga tidak sabar melihat bagaimana Rafizi menggalas tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam kabinet yang baharu dibentuk.

Rata-ratanya berharap Rafizi menterjemahkan 'formula' disuarakan sebelum ini dalam usaha membantu rakyat terutama dalam menanggung kos sara hidup.

Bagaimanapun, ada juga yang menyindir Ahli Parlimen Pandan itu kerana didakwa pernah mengeluarkan kenyataan mahu memfailkan Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk menggubal akta yang menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan juga.

Difahamkan, sindiran itu ada kaitan dengan status Anwar yang turut menyandang jawatan Menteri Kewangan dalam Kabinet yang diumumkannya.

Berita Harian X