BATU KAWAN: Kepemimpinan DAP Pulau Pinang melihat pelantikan menteri dalam Kabinet, bukanlah satu agihan yang seimbang, namun bersetuju dengan saiz pembentukan yang lebih kecil ketika ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata parti yang memenangi kurang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding DAP, mendapat lebih banyak tempat dalam Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata meskipun begitu pihaknya memahami keputusan Perdana Menteri dalam memutuskan siapa yang seharusnya berada dalam Kabinet pentadbiran beliau.
"Daripada pandangan awal kami, ini pengagihan tidak seimbang (barisan Menteri dalam Kabinet).
"Kita terima ada empat menteri DAP tetapi jumlahnya lebih sedikit berbanding parti lain dan tiada seorang pun daripada tujuh Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang dilantik sebagai menteri.
"Namun kami memahami ini kerajaan perpaduan dan pada akhirnya ia terpulang kepada keputusan Perdana Menteri untuk memilih siapa yang patut berada dalam Kabinetnya," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuang Yu di sini hari ini.
Ketika ditanya pandangan beliau berhubung komposisi jawatan timbalan menteri, Kon Yeow tidak mahu mengulas selagi pengumuman mengenainya belum dibuat.
"Saya masih perlu menunggu pengumuman tersebut," katanya ringkas.