Sabtu, 3 Disember 2022 | 3:43pm
 Dr Zaliha dan Fadhlina antara muka baharu dalam Kabinet diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Zaliha dan Fadhlina antara muka baharu dalam Kabinet diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pilihan Anwar terbatas - penganalisis

KUALA LUMPUR: Barisan Kabinet diumum Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan keterbatasan pilihan, sekali gus menyaksikan percaturan strategi yang sukar diramal risikonya.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed, berkata kementerian diterajui muka baharu terutama mereka yang berbekalkan pengalaman terhad dan kemahiran tidak spesifik, meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka kepada sasaran dari pelbagai arah.

Nasrudin berkata, kementerian strategik seperti Kesihatan, Pendidikan dan Komunikasi kritikal dalam menangani fasa pasca pandemik yang banyak menggugat kesejahteraan negara.

"Soal pentadbiran pembangunan dari sudut dasar dan pendekatan memerlukan menteri yang cekap serta mempunyai pengalaman luas berhubung kesejahteraan rakyat atau masyarakat, katanya kepada BH.

Beliau mengulas pelantikan beberapa muka baharu dalam Kabinet pentadbiran Anwar, khususnya yang pertama kali menjadi ahli Parlimen dan memegang jawatan menteri.

Antara calon baharu yang lolos ialah Ketua Wanita PKR, Dr Zaliha Mustafa yang dilantik Menteri Kesihatan dan Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan.

Nasrudin menyifatkan barisan Kabinet itu sebagai cabaran besar perlu dipikul Perdana Menteri.

"Kabinet ini menguji kewibawaan Anwar, bukan sahaja mengenai soal perpaduan antara parti tetapi juga kebijaksanaan beliau dalam mengenal pasti jurang sebenar kepemimpinan menteri dilantik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib, berkata masih awal untuk menilai dan menyimpulkan sama ada muka baharu dalam Kabinet mampu melaksanakan tugas berikutan belum berpengalaman mentadbir sebagai menteri.

"Ini kerajaan campuran yang menyukarkan perubahan drastik dilakukan manakala menteri pertama kali harus mempelajari proses, prosedur, peraturan kerajaan dan dasar awam.

"Saya kira segalanya akan mengambil sedikit masa dan mereka perlu diberikan ruang dan peluang untuk tampil cekap," katanya/

Mengulas pelantikan Dr Zaliha yang juga pengamal perubatan, beliau berkata ruang dan masa sewajarya perlu diberi untuk Menteri Kesihatan itu membuktikan kemampuannya.

"Pada masa ini, orang tidak kenal beliau melainkan biodata ringkasnya selaku pengamal perubatan dan perlu difahami dalam perubatan pun ada pelbagai disiplin dan kepakaran," katanya.

Kartini menekankan mana-mana perubahan tidak perlu drastik tetapi harus dilaksanakan dengan musyawarah .

Katanya, tiga bulan pertama adalah bagi barisan menteri menetapkan agenda untuk diketengahkan, enam bulan bagi proses kemajuan dan 12 bulan merangka pelbagai perancangan komprehensif.

"Tempoh 24 bulan seterusnya adalah proses pelaksanaan dan melihat hasilnya, berpandukan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan ketara," katanya.

Berita Harian X