Sabtu, 3 Disember 2022 | 3:22pm
Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil

'Pemilihan anggota Kabinet dibuat secara musyawarah ketua parti'

KUALA LUMPUR: Lantikan anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibuat secara musyawarah.

Menjelaskan pendekatan itu, Menteri Komunikasi Digital yang baru dilantik, Fahmi Fadzil, berkata Kerajaan Pusat yang dibentuk adalah Kerajaan Perpaduan yang dilantik dan dibentuk mengikut titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan ini bukanlah Kerajaan Pakatan Harapan, di mana Perdana Menteri boleh melantik sesiapa yang dia ingini.

"Ini adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri," katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook, hari ini.

Fahmi berkata, langkah itu adalah satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan Jemaah Menteri sering dibuat tidak mengikut saluran pimpinan utama parti.

"Pada ketika itu, kita saksikan kelompok-kelompok kartel dalam parti dipersenjatakan (weaponised) lalu mewujudkan keadaan 'parti dalam parti' (party in a party) yang akhirnya merosakkan kestabilan politik dalaman parti.

"Maka berbeza tiga pentadbiran sebelum ini, dan menginsafi apa yang pernah terjadi, maka Perdana Menteri dan ketua parti serta gabungan dalam Kerajaan Perpaduan ini bersetuju bahawa senarai calon Jemaah Menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing," katanya.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR, menyifatkan bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, melemparkan fitnah dan tuduhan keterlaluan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk.

"Sekiranya Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, kerana bukan Perdana Menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain.

"Penting, saya tegaskan komitmen Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes," katanya.

Justeru itu, Fahmi meminta Muhyiddin menghentikan serangan polemik yang mengeruhkan dan cuba mengelirukan rakyat.

"Penting untuk kita ingat bahawa Muhyiddin sendiri punyai banyak isu yang mungkin perlu diteliti dan ditelusuri kelak, termasuk isu 1BestariNet dan isu dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataannya, menyifatkan Anwar selaku Perdana Menteri menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti dijaja sepanjang kempen pilihan raya apabila melantik kleptokrat menganggotai Kabinet.

"Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri," katanya.

Muhyiddin mendakwa, barisan Kabinet negara kini adalah Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

Tambah beliau, Anwar sendiri sebagai Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini.

"Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata," katanya.

Muhyiddin mendakwa prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata telah dikompromi dan sistem negara telah rosak apabila individu yang bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai Kabinet.

Berita Harian X