Sabtu, 3 Disember 2022 | 3:14pm

Pelantikan lima menteri wanita, kukuhkan agenda memperkasakan gender

KUALA LUMPUR: Pelantikan lima wanita daripada 28 menteri Kerajaan Perpaduan memperlihatkan golongan hawa diberikan peranan dan portfolio penting sekali gus membawa harapan besar terutama dalam agenda memperkasakan gender.

Meskipun pelantikan itu hanya mewakili 19.7 peratus dan jauh daripada sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kumpulan pembuat keputusan, peratus itu ada peningkatan berbanding Kabinet kerajaan terdahulu.

Pensyarah Pusat Komunikasi dan Media, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Aishah Ab Raman, berkata meskipun tiada penambahan daripada bilangan menteri, namun kelima mereka itu diberikan portfolio kanan.

Nurul Aishah Ab Raman
Nurul Aishah Ab Raman

"Hal ini menunjukkan wanita mempunyai kredibiliti tinggi dan diberikan mandat menerajui kementerian utama yang dekat dengan masyarakat, penting seperti kesihatan dan pendidikan, sekali gus satu penanda aras yag baik.

"Sebagai contoh empat daripada lima kementerian itu, pertama diterajui wanita, iaitu Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan; Datuk Seri Azalina Othman (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan dua lagi muka baru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

"Dengan pelantikan itu, kita akan melihat bagaimana kepimpinan wanita menerajui kementerian, daya penyelesaian mereka sebagai contoh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini didominasi lelaki, bagaimana prestasi Hannah memimpin serta lain-lain menteri.

"Pelantikan Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, juga diharap mampu membawa ke tahap lebih cemerlang dalam memartabatkan status golongan hawa ke segenap segi, " katanya kepada BH.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan 28 menteri Kerajaan Perpaduan, Kabinet lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan yang terbentuk sebelum ini.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November lalu menyaksikan 32 wanita menang kerusi Parlimen dan menurut Global Gender Gap Report, 2020 (GGGP 2020) dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), sebuah pertubuhan antarabangsa mengeluarkan ranking indeks pembabitan wanita dalam empat perkara, iaitu penyertaan dan peluang ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kelangsungan hidup serta penyertaan dalam politik, penyertaan wanita dalam politik pada kedudukan ke-117 (11 peratus).

Nurul Aishah berkata, apabila wanita diberikan peranan menerajui portfolio kanan, ia usaha ke arah pemerkasaan wanita dan mengangkat fungsi kementerian dan fitrah wanita itu sendiri membantu memahami lebih mendalam sesuatu isu berkaitan.

"Misalnya apabila memegang portfolio kesihatan, menteri wanita akan lebih dekat dengan isu kesihatan, doktor, bidan, pakar perubatan wanita, membuatkan mereka lebih memahami, mengambil kira pandangan dan mencapai kesaksamaan gender.

"Meskipun representasi gender masih tidak memberangsangkan peratusan wanita dalam Kerajaan Perpaduan masih tinggi sekali gus menandakan masih ada harapan yang tinggal untuk kita menyaksikan pembabitan 30 peratus wanita kelak.

Jadi, jumlah sekarang penting, untuk menyaksikan lebih ramai lagi wanita memegang portfolio Kabinet pada masa akan datang, jika lebih ramai, suara wanita sebagai pembuat keputusan dan lebih didengari, mengubah polisi yang memberi manfaat wanita, keluarga dan masa depan anak-anak." katanya.

Sementara itu, Pegawai perubatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dr Umi Kalsom Md Ariffin, pula berharap semua menteri di kementerian masing-masing membawa agenda membantu golongan wanita terutama yang tidak bekerja.

Dr Umi Kalsom Md Ariffin
Dr Umi Kalsom Md Ariffin

Katanya, wanita terutama suri rumah juga layak mendapat pendidikan terutama kursus asas sama seperti golongan yang bekerja.

"Apabila golongan ini mendapat kursus yang sewajarnya, mereka boleh menjadi wanita yang bijak sama seperti wanita yang bekerjaya.

"Jadi menteri wanita dan juga menteri di setiap kementerian boleh berusaha mewujudkan kursus yang sesuai untuk golongan ini untuk pandaikan mereka dalam semua aspek termasuk kebersihan, kesihatan dan undang-undang," katanya.

Kakitangan awam, Norsuriana Ibrahim, 33, berkata jumlah lima menteri itu sudah mencukupi setakat ini dan jika ada keperluan boleh ditambah kemudian.

 Norsuriana Ibrahim
Norsuriana Ibrahim

"Oleh kerana ada menteri yang tiada latar belakang portfolio yang dipegang, mereka perlu bekerja lebih keras untuk mengadaptasikan tanggungjawab yang diberikan.

"Sekarang ini adalah masa untuk bekerja kuat jadi apabila sudah mendapat jawatan, diharap dapat melaksanakan tugasan dengan sebaik mungkin," katanya.

Bagi Hamisah Anuar, 44, beliau berharap setiap menteri terutama menteri wanita menunjukkan sikap kepemimpinan mereka selepas ini.

Katanya, ini peluang untuk mereka menonjolkan diri dan menunjukkan mereka juga mampu menjalankan tugas sama seperti menteri lain.

"Menteri wanita di setiap kementerian juga perlu terus membantu dan membela golongan wanita dalam semua aspek.

"Ini masa dan peluang yang baik untuk berbuat demikian bagi mendapatkan kepercayaan rakyat semula," katanya.

Berita Harian X