KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, percaya pelantikannya ke jawatan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendengar suara akar umbi yang mahukan seorang pengamal perubatan dilantik ke jawatan itu.
Beliau menyifatkan Perdana Menteri benar-benar mengambil kira pandangan semua pihak dalam sektor kesihatan dan perubatan berhubung perkara itu.
"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas lantikan ini dan berazam akan menunaikan tanggungjawab ini dengan sebaiknya.
"Justeru, saya akan cuba sedaya upaya mendapatkan maklumat daripada kementerian bagi merangka kerja seterusnya yang saya kira banyak cabaran besar menanti lebih-lebih lagi negara belum pulih sepenuhnya daripada COVID-19," katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian mengulas pelantikannya sebagai Menteri Kesihatan dalam barisan Kabinet yang diumumkan Anwar semalam.
Dr Zaliha berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai pengamal perubatan di samping bantuan kakitangan Kementerian Kesihatan di pelbagai peringkat.
Katanya, antara perkara menjadi tumpuan adalah cabaran di hadapi kementerian berkenaan pacsa endemik COVID-19 dan isu penempatan doktor pelatih.
"Saya kena masuk ke kementerian dulu untuk mengetahui isu berbangkit yang lain termasuk penambahbaikan isu berkaitan komunikasi dan pendigitalan yang mendapat perhatian," katanya yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR .