KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang portfolio Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya dilihat sebagai pertimbangan politik mengambil kira saiz bilangan Jemaah Menteri yang kecil.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, berkata Perdana Menteri berkemungkinan perlu menjawat jawatan terbabit memandangkan pentadbirannya merangkumi pelbagai gabungan.
"Dalam konteks ini, antara pertimbangannya ialah disebabkan bilangan anggota Kabinet (yang kecil) dan Perdana Menteri perlu ada portfolio.
"Ia tidak pelik kerana ada Perdana Menteri terdahulu pernah menerajui Kementerian Kewangan.
"Namun secara politiknya, Perdana Menteri mesti ada pertimbangan tersendiri kerana kerajaan sekarang pun terdiri daripada pelbagai parti dan gabungan.
"Saya berpandangan ia adalah keputusan politik bukan keputusan pentadbiran," katanya kepada BH, hari ini.
Anwar ketika mengumumkan barisan Jemaah Menteri di Putrajaya malam tadi, memaklumkan akan memegang portfolio Menteri Kewangan.
Keputusan itu dilihat tersasar dengan pendirian parti utama kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyatakan Perdana Menteri tidak wajar memegang portfolio lain khususnya Kementerian Kewangan.
Mohd Azmir berkata, jika dilihat kepada senarai Kabinet yang diumumkan, Perdana Menteri mungkin berpandangan PH kekurangan calon sesuai untuk menerajui kementerian terbabit berbanding Barisan Nasional (BN) atau gabungan lain.
"Apabila Perdana Menteri mengumumkan beliau memegang portfolio kewangan, antara alasannya ialah untuk memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan kita tahu Perdana Menteri mempunyai hubungan baik dengan dunia luar," katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berpandangan keputusan Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan bertujuan memudahkannya memantau perkembangan dan reformasi ekonomi negara.
Dengan situasi ekonomi negara yang lebih mencabar menjelang tahun depan, katanya, Perdana Menteri mungkin berasa boleh membuat keputusan dengan lebih cepat.
"Jika tidak silap, Perdana Menteri sebut jawatan (Menteri Kewangan) itu mungkin untuk sementara, mungkin apabila ekonomi negara sudah pulih, ia akan diserahkan kepada orang lain.
"Dlam situasi sekarang, Perdana Menteri lebih berminat melihat isu ekonomi dan kewangan, apatah lagi bajet belum diluluskan.
"Justeru, mungkin beliau mengambil tanggungjawab untuk terbabit secara langsung kerana aspek kewangan paling penting dalam keadaan sekarang," katanya.