KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyifatkan pemilihannya untuk menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai satu tanggungjawab besar.
Beliau berkata, ini terutama ketika Malaysia perlu meneruskan momentum pemulihan pasca COVID-19.
"Hari ini, saya diberikan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
"Ini adalah sebuah tanggungjawab yang besar, terutamanya ketika Malaysia perlu meneruskan momentum pemulihan kita pasca COVID-19," katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau berharap dapat menjalankan tugas sebagai seorang senator dengan penuh amanah dan integriti, serta memastikan suara rakyat terus diangkat di Dewan Negara demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran semua kaum, agama dan bangsa.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas tanggungjawab berat yang diberikan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan pucuk pimpinan parti," katanya.
Zafrul mula menyertai Kabinet pada Februari 2020 memegang portfolio Menteri Kewangan ketika kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yasin dan terbabit secara langsung dalam usaha menangani impak COVID-19, yang begitu menggugat kedudukan ekonomi negara ketika itu.
Tanggungjawabnya diteruskan pada Ogos 2021, ketika teraju kerajaan beralih tangan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan fokusnya ketika itu untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat dan segmen perniagaan yang terkesan dengan langkah sekatan pergerakan ekoran pandemik COVID-19.
Selain Zafrul, dua lagi pemimpin dan seorang tokoh agama dinamakan menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Kesemua mereka sudah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini, dengan upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen, di sini, jam 8.30 pagi tadi.
Sementara itu, Saifuddin dalam kenyataan ringkas di Facebook serta ciapan di Twitter beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menzahirkan penghargaan terhadap pemilihannya menanggotai Kabinet baru.
"Tak sempat menjawab semua ucapan tahniah yang masuk bertalu-talu. Saya sangat terharu dan juga amat menghargai. Doakan saya sentiasa, agar dipermudahkan segala urusan pada hari muka.
"Alhamdulillah selesai upacara mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pagi tadi.Proses seterusnya adalah mengangkat sumpah sebagai menteri di Istana Negara yang dijadualkan pada jam 3 petang ini," katanya.
Anwar malam tadi mengumumkan barisan 28 ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, mewakili empat parti utama iaitu Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Tengku Zafrul tewas kepada penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Pada pengundian PRU15, Dr Dzulkefly yang mewakili Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor dengan majoriti 1,002 undi.
Beliau meraih 31,033 undi, manakala Tengku Zafrul yang juga calon BN, memperoleh 30,031 undi.
Turut tewas, Mohd Noor Mohd Sahar dari Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 23,639 undi dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli (1,778 undi).