Sabtu, 3 Disember 2022 | 12:29pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pengumuman Kabinet di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pengumuman Kabinet di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Rakyat tunggu pendekatan Kabinet tangani korupsi, ketirisan

PENANTIAN rakyat sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terjawab, dengan pengumuman barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Malaysia ketika ini memerlukan barisan kepemimpinan mampu menguruskan cabaran ekonomi pascapandemik, seterusnya melaksanakan agenda reformasi dalam tadbir urus kerajaan.

Pendekatan kepemimpinan dan tatakelola negara menjadi isu penting perlu ditangani Perdana Menteri dan Kabinet baharu ini.

Rakyat menantikan pendekatan akan dibawa dalam menangani isu seperti amalan korupsi, ketidakcekapan dan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.

Integriti dan akauntabiliti dalam sektor awam perlu dikembalikan. Ia bukanlah tugas mudah tetapi rakyat percaya ia dapat dilakukan dengan pengalaman dan strategi jitu serta kerjasama semua pihak.

Reformasi kepemimpinan didambakan rakyat ialah dari segi peningkatan kualiti kepemimpinan dalam menangani segala masalah rakyat.

Kemajuan sesebuah negara diukur bukan sahaja melalui indikator ekonomi dan kemampuan berdaya saing, bahkan aspek integriti dan moral. Kerajaan telus, beretika dan berintegriti antara ciri penting menuju ke arah negara maju.

Diharapkan barisan Kabinet baharu kelak akan meletakkan kepentingan awam mendahului kepentingan peribadi dan memastikan nasib rakyat terbela.

Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada tahun ini, tiga tunjang utama bagi pelaksanaan integriti awam meliputi aspek sistem, budaya dan integriti.

Sistem sedia ada perlu menyekat ruang bagi tingkah laku korup, budaya antirasuah perlu diwujudkan di setiap peringkat dan akauntabiliti perlu diwujudkan dalam diri setiap individu.

Prinsip amanah perlu ditanam dalam diri pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab kepemimpinannya.

Setiap tindakan dan perilaku pemimpin dilaksanakan dengan amanah dan transparen agar setiap sisi tindakan dibuat dinyatakan dengan jelas.

Kecerdasan dan intelektual juga ciri pemimpin perlu ada lebih-lebih lagi dalam memimpin negara. Pemimpin tidak hanya pintar dari segi latar belakang akademik, namun kecerdasan dalam menyesuaikan pendekatan kepemimpinan diambil.

Segala bentuk perubahan hendak dilakukan dalam mana-mana organisasi, perlu datang daripada pemimpin, maka tokoh cerdas dan berintelek akan berupaya melakukan reformasi dalam apa jua keadaan serta cabaran mendatang demi masa depan negara.

Pemimpin juga seharusnya belajar dari setiap keadaan dan pengalaman dilalui. Kepekaan keluh kesah rakyat sangat penting dan penetapan minda pemimpin berkaitan komitmen berkhidmat kepada rakyat perlu menjadi keutamaan.

Dengan menyatakan tumpuan utama akan difokuskan adalah untuk usaha menangani masalah peningkatan kos sara hidup rakyat, maka diharapkan barisan kepemimpinan baharu negara di bawah teraju Anwar dapat membantu mengubah kehidupan rakyat ke arah lebih maju dan lestari.

Jika ini berjaya dilaksanakan, ekonomi Malaysia akan kembali melonjak dan negara ini menjadi negara disegani di rantau Asia dan di seluruh dunia.

Felo Kanan Bersekutu, Institut Islam Hadhari dan Penolong Dekan (Pengajaran dan Citra) di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X