Sabtu, 3 Disember 2022 | 11:56am

PRU15: Polis Kedah terima lima laporan

KULIM: Lima laporan polis diterima berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sepanjang tempoh berkempen bagi Parlimen Padang Serai, setakat ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata lima laporan polis yang diterima itu masing-masing membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan selain kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

"Kertas siasatan berhubung semua kes terbabit sedang dilengkapkan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Kita harap proses serta kempen sepanjang PRU15 Parlimen Padang Serai ini berjalan lancar dan aman," katanya ketika meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Beliau berkata, proses pengundian awal yang bermula jam 8 pagi dan dijangka berakhir pada 2 petang itu membabitkan seramai 76 pegawai dan anggota polis.

"Sepatutnya, pengundi awal ini terdiri daripada 64 lelaki dan 12 wanita namun dua daripada mereka didapati sudah meninggal dunia manakala seorang lagi dibuang kerja," katanya.

Mengenai kekuatan pasukan sepanjang menghadapi proses PRU15 Padang Sera, beliau berkata sehingga kini 400 pegawai dan anggota ditugaskan sejak hari penamaan calon, termasuk mengawal serta memantau program dan ceramah.

"Seramai 1217 pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk memastikan proses pada hari mengundi 7 Disember depan berjalan lancar.

"Selain itu, tiga pasukan Pasukan Polis Simpanan (FRU) dari Perak dan Pulau Pinang akan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada hari berkenaan," katanya.

Wan Hassan berkata, pihaknya akan menambah bilangan pegawai dan anggota mengikut keperluan serta bergantung kepada keadaan seperti ancaman atau sebarang gangguan.

PRU15 Parlimen Padang Serai ditunda berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya pada 16 November lepas iaitu tiga hari sebelum proses pengundian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 7 Disember depan sebagai hari pengundian dan 3 Disember sebagai hari pengundian awal.

PRU15 bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional, PN); Datuk C Sivaraj (Barisan Nasional, BN); Hamzah Abd Rahman (PEJUANG); Sreanandha Rao (Bebas); dan Mohd Bakhri Hashim (WARISAN).

WARISAN kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di IPD Kulim.-Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di IPD Kulim.-Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X