Sabtu, 3 Disember 2022 | 10:59am

Senator dilantik sebagai menteri, juara terbaik bela institusi Senat -Rais

KUALA LUMPUR: Empat menteri yang dilantik dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa hari ini dengan lantikan Senator.

Mereka ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri; Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar Negeri) dan Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Mereka adalah antara sebahagian daripada 27 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Keempat-empat Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Ia dibuat selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat (4)(1) dan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan mengikut Jadual Keenam, Perlembagaan Persekutuan.

Syarat dikenakan mengikut Perkara 43 (2)(b), Perlembagaan Persekutuan juga turut dipenuhi yang menyatakan seseorang menteri hendaklah menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Sementara itu, Rais dalam ucapannya menekankan berhubung peranan Senator yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri adalah juara terbaik bagi membela dan menetapkan institusi Senat sebagai Badan Legislatif tertinggi negara.

Beliau berkata, pihaknya berharap barisan Senator dapat memperkasakan kembali Reformasi Institusi Parlimen yang diusahakan hampir setahun setengah dengan menumpukan dua akta penting yang memerlukan pindaan iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan Akta Kuasa dan Keistimewaan Majlis Parlimen 1952.

"Semua Senator perlu meneliti kembali senarai tugas kolektif untuk capaian utama masing-masing mulai tahun hadapan.

"Cadangan dan kertas kabinet sudahpun disediakan sebelum Parlimen ditangguhkan tempoh hari," katanya dalam ucapan selepas menyempurnakan majlis angkat sumpah itu, di sini.

Pada masa sama, Rais turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan berharap agar Malaysia akan terus dipacu kecemerlangannya di bawah pentadbiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

"Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, atas sumbangan dan budi yang dicurahkan sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan," katanya.

Empat senator yang selesai mengangkat sumpah pagi ini di Dewan Negara. - Foto Ihsan Penerangan
Empat senator yang selesai mengangkat sumpah pagi ini di Dewan Negara. - Foto Ihsan Penerangan
Berita Harian X