KUALA LUMPUR: BERSATU mendakwa Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, terkait muflis moral kerana dianggotai individu terpalit masalah moral, selain 'terkenal' dengan jolokan kluster mahkamah.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pengumuman Kabinet berkenaan menggambarkan seolah-olah cubaan untuk memperalatkan rakyat yang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang jelas menolak golongan terbabit.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, menegaskan sebaliknya kerajaan baharu yang dinaungi Pakatan Harapan (PH) perlu mengangkat pemimpin yang mendahului kepentingan rakyat termasuk mementingkan nilai moral, integriti serta akauntabiliti, bukannya mengatasi kepentingan peribadi.
"Pengumuman pembentukan Kabinet hari ini (semalam) tiada apa yang mengejutkan. Kerajaan rosak pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, benar-benar telah muflis moral apabila kluster mahkamah yang selama ini rakus mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa diangkat ke Kabinet.
"Sebaliknya, Anwar Ibrahim telah mencampakkan segala nilai moral, prinsip, integriti serta akauntabiliti ke tong sampah demi kuasa dan takhta. Ini suatu lagi bukti jelas bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang politikus matlamat menghalalkan cara, yang sanggup menggadaikan apa sahaja demi kuasa.
"Saya anggap ini adalah satu lagi usaha Anwar Ibrahim untuk mensucikan kluster mahkamah. Saya semakin bimbang sekiranya kes-kes perbicaraan membabitkan kluster mahkamah akan terganggu," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan pengumuman Kabinet itu, Wan Saiful berkata, ia pasti membuatkan pengundi yang menyokong PH kecewa kerana individu yang terkait kluster mahkamah tetap diangkat sebagai menteri.
Justeru, beliau mempersoalkan tindakan Anwar merangkap pengerusi PH yang tidak selari dengan perjuangan reformasi presiden PKR itu selama ini.
Atas faktor itu, beliau menyeru agar pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Bagan Serai supaya menolak gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada 7 Disember ini.
"Saya kasihankan pengundi yang memilih PH kerana terbukti undi PH akhirnya mereka dapat (Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi. Mana perginya perjuangan reformasi?
"Saya juga kasihan pengundi UMNO-BN kerana segala laungan mereka telah dijual sebegitu murah oleh Zahid Hamidi yang mahu menyelamatkan diri. Adakah UMNO masih relevan hari ini?
"Terbukti sekali lagi hanya Perikatan Nasional (PN) sahaja yang layak bercakap soal prinsip dan moral. Kami lebih rela menjadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa dan menjilat ludah sendiri sehingga tergamak menggadaikan prinsip perjuangan seperti mana dilakukan PH dan BN," katanya.