Sabtu, 3 Disember 2022 | 12:21am
Anwar ketika sidang media pengumuman Kabinet Kerajaan di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Anwar ketika sidang media pengumuman Kabinet Kerajaan di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Dua portfolio kementerian digabung, satu lagi dimansuh

KUALA LUMPUR : Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri malam ini menyaksikan dua portfolio kementerian digabungkan, manakala satu lagi dimansuh.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sebelum ini dua entiti berbeza, kini digabungkan di bawah satu portfolio iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kementerian itu akan diterajui Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri I.

Satu lagi portfolio turut menyaksikan penggabungan iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, yang kini digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kementerian itu diterajui Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Satu portfolio dimansuhkan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), menjadikan jumlah portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan kini hanya dua iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Kedua-dua portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu disandang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman serta Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Ini sekali gus menyaksikan dua lagi portfolio dipisahkan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kini menjadi Kementerian Agama dan Kementerian Ekonomi.

Portfolio Menteri Ekonomi akan diterajui Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sementara Menteri Agama pula disandang, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar malam ini mengumumkan barisan 28 menteri Kabinetnya yang diterajui empat gabungan parti utama iaitu Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta seorang menteri yang tidak mewakili mana-mana parti.

Semua 28 menteri termasuk Anwar yang akan memikul tugas sebagai Menteri Kewangan akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jam 3 petang esok.

Berita Harian X