Jumaat, 2 Disember 2022 | 11:54pm
Barisan menteri dari Sabah dan Sarawak. (Dari kiri) Armizan, King Sing, Alexander, Fadillah, Aaaron Ago, Nancy dan Ewon.
Barisan menteri dari Sabah dan Sarawak. (Dari kiri) Armizan, King Sing, Alexander, Fadillah, Aaaron Ago, Nancy dan Ewon.

7 menteri wakil Sabah dan Sarawak, Fadillah TPM pertama dari Borneo

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof mengisi satu daripada dua jawatan Timbalan Perdana Menteri dalm Kabinet Kerajaan Perpaduan melakar sejarah baharu.

Ini kerana Fadillah yang juga bekas Menteri Kerja Raya menjadi Ahli Parlimen pertama dari Sarawak yang menjawat kedudukan itu.

Lantikan beliau diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pengumuman barisan Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya malam ini.

Fadilah, 60, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut memegang portfolio sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Beliau antara tujuh ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri terdiri lima wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dua dari Sabah iaitu masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Empat wakil GPS adalah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya; Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan), Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Dua menteri dari Sabah pula adalah Datuk Ewon Benedick daripada PH yang menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Datuk Armizan Mohd Ali daripada GRS yang dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang lagi Timbalan Perdana Menteri dalam senarai 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.

Anwar turut memaklumkan senarai timbalan menteri akan diumumkan kemudian.

Kabinet baharu yang diumumkan hari ini dijadualkan mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok. – BERNAMA

Berita Harian X