KUALA LUMPUR: "Saya menteri untuk semua, bukan hanya rakyat Sarawak".
Atas prinsip itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, meengaskan beliau akan memastikan setiap usaha dan inisiatif diambil di bawah kementeriannya akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau yang sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya dalam barisan Kabinet.
"Terima kasih juga kepada Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana masih memberi kepercayaan kepada saya mewakili parti dan negeri berkhidmat di peringkat Persekutuan.
"Sesungguhnya pelantikan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang amat penting dalam membantu usaha Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menjelang 2023 yang dijangka amat mencabar.
"Saya juga menyedari, tanggungjawab ini datang dengan cabaran yang besar. Namun saya akan memberikan sepenuh komitmen dan usaha dalam memastikan kelancaran perancangan pentadbiran negara atas kapasiti saya di kementerian ini," katanya.
Ahli Parlimen Kapit itu juga memberi jaminan akan meneruskan dasar-dasar terdahulu di kementerian yang terbukti berkesan, di samping menambah baik dasar-dasar yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
"Saya juga akan terus menghormati peranan penjawat awam dari semua lapisan yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga kepada kementerian ini. Kita akan terus bekerja bersama sebagai satu pasukan demi negara tercinta.
"Dengan pengumuman pembentukan Kabinet baharu di bawah Kerajaan Perpaduan ini juga, saya berharap setiap daripada kita dapat terus bergerak ke hadapan dan memberikan fokus dalam usaha memulihkan negara, terutamanya dari sudut ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Marilah kita mengetepikan segala perbezaan dan bersama-sama memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan semula negara agar ia kembali ke landasan yang tepat dalam untuk kembali disegani di mata dunia," katanya.