TANJUNG MALIM: Seramai 6,067 graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menerima ijazah masing-masing, termasuk lapan secara anumerta pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-24 institusi bersejarah itu pada 3 hingga 9 Disember ini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata majlis akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini.
Pada sesi pertama pagi esok, beliau memaklumkan, Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim akan merasmikan majlis istiadat dan seterusnya menyampaikan ijazah kepada 586 graduan, membabitkan 123 graduan ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana (191) dan sarjana muda (272).
"Baki graduan akan menerima ijazah masing-masing pada sesi kedua hingga kesembilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Md Amin berkata, pada sesi pertama juga, Tuanku Zara akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris yang bergiat aktif dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Katanya, Noraini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI dan pernah menjadi editor jurnal bertaraf antarabangsa serta berjaya menghasilkan lebih 30 buku secara bersendirian atau bersama rakan penyelidik bagi memantapkan ilmu.
Selain itu, pelakon dan artis, Arja Lee yang mengikuti pengajian di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) akan menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan dengan tesis berjudul 'Mari Bermain Congkak: Suatu Aktiviti Didik Hibur Di Arja Art Academy'.
"Saya berharap semua keluarga yang membawa graduan berhati-hati memandu dan semoga tiba di Kampus Sultan Azlan Shah dengan selamat," kata Md Amin.