Jumaat, 2 Disember 2022 | 2:37pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BERNAMA/ARKIB
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BERNAMA/ARKIB

PM adakan mesyuarat khas Kabinet Isnin

IPOH: Keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengumumkan Kabinet adalah memanggil ahli Jemaah Menteri ke mesyuarat khas Isnin ini bagi mengumumkan beberapa peraturan baharu.

Perdana Menteri berkata, antara peraturan yang akan ditetapkan adalah berkaitan cara mengurus kementerian; cara mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam; penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengumuman berkaitan dasar, serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.

"Bagi saya, keutamaan sebaik disusun (diumum) Jemaah Menteri (petang ini), saya akan panggil mesyuarat khas pada Isnin ini untuk tetapkan beberapa peraturan baharu bagi Jemaah Menteri," katanya ketika berucap pada program Kenduri Rakyat dekat Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati dekat Meru Raya, hari ini.

Hadir sama dalam program itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Terdahulu dalam ucapan sama, Anwar turut mengesahkan senarai ahli Jemaah Menteri pentadbirannya bakal diumumkan beliau pada lewat petang ini selepas beliau sebelumnya dilapor tiba di Istana Negara pagi tadi dipercayai untuk mempersembahkan senarai ahli jemaah itu kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Anwa, dalam ucapan itu turut mengulangi pendirian sebelum ini bahawa Kabinet yang dibentuk tidak terlalu ramai ahli iaitu Menteri, selain pengurangan yang turut membabitkan Duta-duta Khas bertaraf menteri.

Dalam ucapannya lagi, Anwar turut mengingatkan bahawa kuasa kepimpinan bukanlah keistimewaan, sebaliknya adalah tanggungjawab bagi memperbaiki segala kelemahan lampau seperti masalah pembaziran dan rasuah, dalam pada memperhebatkan kekuatan sedia ada.

Anwar turut merujuk situasi pengambilalihan kepimpinan negara yang dialaminya kini membabitkan bilangan kerusi di Parlimen yang disifatkan sebagai 'majoriti bergaya', seakan seperti peristiwa penawanan atau pembukaan Kota Makkah (Fathul Makkah) yang terjadi semasa zaman hayat Rasulullah SAW.

Kerajaan ada majoriti bergaya, seperti peristiwa pembukaan Makkah

"Kita majoriti bergaya di Parlimen, untuk apa? Untuk jamin hentikan rasuah, penyelewengan, dan pembaziran serta angkat ke arah lebih baik. Jadi doakanlah.

"Pada saat Rasulullah menawan Makkah sewaktu Fathul Makkah, pengajaran yang boleh kita lihat, ketika itu antara perkara pertama Rasulullah lakukan adalah memuji kebesaran Allah dan kedua meminta keampunan, beristighfar kepada Allah," katanya

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PRU15 telah berakhir dan kini adalah masa untuk kerajaan bekerja termasuk memberi peluang kepada beliau menunaikan tanggungjawab sebagai perdana menteri.

"Sekarang giliran saya. Bulan lalu giliran orang lain, tahun lalu orang lain, tiga empat tahun dulu pun orang lain. Jadi kita doakan orang ini (Anwar) kekal penuh sepenggal," katanya.

Anwar berkata, kerajaan perlu memulihkan ekonomi termasuk menyediakan pendidikan lebih bermutu, menangani masalah kos sara hidup agar lebih terkawal serta menyediakan kemudahan kesihatan dan prasarana yang lebih baik.

"Saya syukur kepada Allah kerana kita telah pulihkan sedikit keyakinan pelabur antarabangsa dan dalam negara malah ringgit juga diperkuat.

"Bila ringgit diperkuat itu bermakna kos import akan lebih berkurang seterusnya kos barang makanan seperti ayam dan baja dapat dikurangkan," katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR memenangi kerusi Parlimen Tambun dalam pertandingan empat penjuru pada PRU15 dengan memperoleh majoriti 3,736 undi.

Sementara itu, BH pagi tadi difahamkan Anwar akan mengumumkan barisan Kabinetnya pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya petang ini. Pengumuman itu bagaimanapun kemudian ditunda kepada jam 8.15 malam.

Pengumuman itu yang ditunggu-tunggu rakyat selepas Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu, juga akan disiar secara langsung di televisyen.

Beliau mempunyai tempoh yang terhad untuk membentuk kerajaannya, susulan Parlimen akan bersidang pada 19 dan 20 Disember depan.

Sidang Parlimen itu akan mengemukakan beberapa usul penting termasuk usul memilih Speaker Dewan Rakyat yang baharu serta usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

Usul seterusnya adalah Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023, khususnya membabitkan peruntukan belanja mengurus kerajaan bagi tahun depan.

Pagi tadi, Anwar selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, dipercayai untuk mempersembahkan senarai ahli Jemaah Menteri untuk diperkenankan Seri Paduka.

Ahli Jemaah Menteri baharu dijangka mengangkat sumpah dalam tempoh terdekat berikutan Yang di-Pertuan Agong dijangka ke luar negara pada Sabtu ini.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

Berita Harian X