Jumaat, 2 Disember 2022 | 2:27pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, melihat pelan selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan penyimpanan mayat masyarakat India di Bandar Ayer Itam, Pulau Pinang, hari ini. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, melihat pelan selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan penyimpanan mayat masyarakat India di Bandar Ayer Itam, Pulau Pinang, hari ini. - Foto NSTP/MIKAIL ONG

Kajian sahkan air Sungai Perak cukup untuk Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pulau Pinang optimis dapat menyambung rundingan berhubung Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) berdasarkan laporan terbaharu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kajian itu yang dijalankan perunding lantikan KASA mengesahkan Sungai Perak mempunyai bekalan air mencukupi untuk menampung keperluan di bahagian utara Perak dan Pulau Pinang, justeru, keputusan rundingan sewajarnya berpandukan pada hasil kajian itu.

Beliau menjelaskan menerima laporan kajian itu, September lalu dan berpendapat keputusan berhubung rundingan SPRWTS sewajarnya berpandu kepada kajian berkenaan.

"Rundingan atau mesyuarat memang sudah diadakan tetapi kita tidak dapat melanjutkan perbincangan kerana menunggu laporan ini disiapkan. Apa gunanya membuat kajian jika kita tidak melihat cadangan kajian ini?

"Apabila kajian sudah siap, tiba pula musim pilihan raya. Jadi, kita sabar menunggu untuk meneruskan rundingan sekurang-kurangnya membabitkan tiga pihak iaitu KASA, Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pinang.

"Kita menghormati pandangan Menteri Besar Perak, tetapi ini membabitkan peranan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi bagi utara Semenanjung, yang mana bekalan air mungkin tidak mencukupi menjelang 2050," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pecah tanah bangunan penyimpanan mayat masyarakat India, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Perak tetap dengan pendirian tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun pembentukan kerajaan negeri sekarang adalah campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dilaporkan berkata, Perak muktamad tidak melaksanakan SPRWTS kepada kerajaan Pulau Pinang, bukan disebabkan perbezaan politik tetapi berikutan bekalan air negeri itu hanya mencukupi untuk kegunaan domestik.

Kon Yeow berkata, jika projek itu tidak dilaksanakan, ratusan juta liter air yang melalui Sungai Perak tetap akan terus mengalir ke laut setiap hari.

Jelasnya, laporan itu bukan sahaja mengesahkan bekalan air Perak mencukupi, malah mencadangkan beberapa pilihan, termasuk pembinaan terowong dan loji rawatan bagi membekalkan air terawat atau air mentah.

Kon Yeow berkata, beliau memahami kebimbangan Kerajaan Negeri Perak, berdasarkan maklum balas agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung lokasi Empangan Chenderoh, yang dikhuatiri menjejaskan bekalan air pada musim kemarau.

"Menteri Besar juga menyuarakan pandangan sama dalam mesyuarat bersama saya dengan barisan Setiausaha Kerajaan kedua-dua negeri serta agensi berkaitan awal tahun ini.

"Tetapi, cadangan perunding ini menyatakan titik pengekstrakan air adalah di bawah Empangan Chenderoh. Jadi, ini sudah menangani kebimbangan pihak berkaitan.

"Saya fikir segala perbincangan yang diadakan biarlah kita dibimbing hasil laporan dan cadangan daripada perunding yang dilantik oleh kementerian sendiri," katanya.

Kon Yeow berkata, secara keseluruhan, projek itu dijangka menelan kos mencecah RM4 bilion hingga RM5 bilion, yang dijangka ditanggung ketiga-tiga pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, projek SPRWTS tidak bermaksud menggantikan sumber air dari Sungai Muda, yang membekalkan 1,200 juta liter sehari (MLD) kepada Pulau Pinang, sebaliknya berperanan sebagai bekalan tambahan kepada sumber sedia ada bagi mengatasi krisis air pada masa depan.

"Kalau Perak kata tidak boleh bekalkan 1,000 juta liter sehari, kita sedia melihat 700 juta liter sehari.

"Kita kena mula sekarang. Kita kena tunggu lapan hingga 10 tahun sebelum projek ini siap, jadi kita sememangnya akan meneruskan usaha ini," katanya.

Berita Harian X