Jumaat, 2 Disember 2022 | 1:05pm

Anwar pulang ke Tambun

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan lawatan singkat ke Tambun, kawasan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu, tiba di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini, jam 12.15 tengah hari.

Beliau disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta ratusan rakyat yang tidak mahu melepaskan peluang merakam gambar pemimpin negara itu.

Terdahulu, Anwar tiba di Perak melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini dan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta.

Dalam lawatan singkat kali ini, Anwar turun padang untuk bersama rakyat Tambun dalam sesi tinjauan mesra dan ramah mesra bersama warga Parlimen berkenaan di Pasar Awam Tanjung Rambutan.

Perdana Menteri seterusnya menghadiri solat Jumaat dan kenduri rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Meru Raya.

Sesudah program tamat jam 3 petang, beliau berlepas pulang ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

Anwar menawan kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15 dengan memperoleh majoriti 3,736 undi dalam saingan empat penjuru.

Perdana Menteri melambai orang ramai yang hadir menyambutnya di Pasar Tanjung Rambutan. - NSTP/L MANIMARAN
Perdana Menteri melambai orang ramai yang hadir menyambutnya di Pasar Tanjung Rambutan. - NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X