Jumaat, 2 Disember 2022 | 12:16pm

Menteri, timbalan mesti tahu tugas, tanggungjawab

Kuala Lumpur: Menteri dan timbalan menteri mesti jelas dalam tugasnya dan mengelak memberi arahan yang bertentangan dengan tugas dan tanggungjawab perkhidmatan awam.

Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata ramai yang baru dilantik seolah-olah tidak faham dengan tugas dan tanggungjawabnya.

"Menteri dan timbalan menteri mesti tahu tugas dan tanggungjawab dia. Apa yang boleh buat, yang tak boleh buat, itu perlu.

"Selepas itu, kalau dia mahu tahu, tidak ada apa soal pemberi arahan kepada Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) atau ketua jabatan untuk memihak atau berpihak kepada sesuatu pihak lain, itu tak timbul.

"Yang masalah sekarang ini, kadang-kadang ada orang politik baharu yang dilantik, dia tak tahu tugas dan tanggungjawab dia. Sebab itu kita kata, kalau ada Akta Perkhidmatan Awam ini, apa yang ditugaskan penjawat dan pegawai awam, anggota pentadbiran dan kuasa yang ada dan sebagainya, itu akan disebutkan dengan jelas," katanya.

Beliau berkata, tugas dan tanggungjawab orang politik yang dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun juga sama, yang mana mereka tidak dibenar langsung terbabit dalam urusan pengurusan dalaman syarikat serta hal perolehan dan tender.

"Orang politik yang duduk dalam badan berkanun, GLC tiada masalah. Walaupun dia jadi pengerusi, dia tak boleh duduk dalam mesyuarat perolehan, dia tidak boleh tentukan siapa mendapat tawaran tender...tak boleh.

"Kalau contohnya, anak dia nak masuk tender itu, anak dia mesti membuat satu 'declaration' atau pengakuan bahawa penama ini adalah anak kepada pengerusi atau pengerusi sendiri maklumkan kalau dia tahu anak dia mahu masuk tender, dia sendiri kena isytiharkan.

"Anak saya akan mengambil bahagian dalam satu tender dan ini mesti diberitahu kepada pegawai yang terbabit dengan perolehan. Ramai tak tahu, mereka ingat pengerusi boleh buat itu dan ini. Pengerusi tak boleh. Pengerusi tertakluk kepada peraturan yang sudah ditetapkan, sama macam menteri, timbalan menteri," katanya.

Beliau berkata, pengakuan sama juga perlu dibuat menteri atau timbalan menteri jika satu-satu perolehan dan tender itu membabitkan penyertaan saudara terdekatnya.

"Menteri kalau dia tahu anak atau saudara terdekat dia mahu masuk projek, dia mesti bagi tahu. Anak dia sendiri mesti buat 'declaration' atau pengakuan bahawa bapa saya adalah menteri atau timbalan menteri.

"Ini contoh kalau mereka yang terbabit itu masuk tender di satu kementerian jabatan yang sama. Ini termasuk tender atau apa-apa jawatan dan perolehan di kementerian itu, dia mesti beritahu," katanya.

Setuju letak pegawai SPRM

Abdul Halim juga bersetuju dengan tindakan meletakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di jabatan kerajaan bagi memantau urusan perjalanan perolehan tender kerajaan.

"Saya ingat ini pendekatan bagus bagi mengelak perbuatan rasuah. Waktu saya dulu, belum ada pegawai SPRM yang ditempatkan di kementerian, tetapi sekarang didapati perlu, mungkin perubahan masa dan keadaan, memerlukan satu tindakan itu dibuat sekarang.

"Sekarang, saya sudah 21 tahun bersara, banyak yang dilakukan. Apa yang saya tahu, prinsip tidak ada campur tangan tender, pelantikan pegawai, penempatan pegawai, masih sama iaitu orang politik langsung tidak boleh campur tangan," katanya.

Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali di kediamannya di Bukit Damansara. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali di kediamannya di Bukit Damansara. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X