Jumaat, 2 Disember 2022 | 8:50am
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pengumuman Kabinet di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pengumuman Kabinet di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

LANGSUNG: Pembentukan Kabinet PM Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Selesai pelantikan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tumpuan kini terarah kepada pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Berita Harian membawa secara langsung berita terkini serta perkembangan semasa yang berkaitan.


SABTU, 3 DISEMBER 2022

8.30 pagi: Majlis mengangkat sumpah Senator Dewan Negara sedang berlangsung di Parlimen.


JUMAAT, 2 DISEMBER 2022

8.30 malam: 28 Menteri sertai Kabinet Kerajaan Perpaduan

Perdana Menteri mengumumkan saiz barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang disertai 28 Menteri. Jumlah saiz itu, termasuk Anwar yang memegang portfolio Menteri Kewangan adalah lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan sebelum ini.

Senarai penuh Kabinet Kerajaan Perpaduan lihat di sini

- Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dipilih untuk menerajui portfolio Menteri Agama.

Mohd Na'im dilantik sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie untuk menerajui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkuat kuasa pada 1 April 2019.

Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini pernah menyandang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

- Dua pemimpin Wanita PKR dipilih menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan. Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dipilih sebagai Menteri Pendidikan manakala Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan


8.15 malam: PM umum dua Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet baru Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof

Dalam sidang media hari ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menamakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang media pengumuman barisan Kabinetnya yang disiarkan secara langsung malam ini.

Anwar pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 memaklumkan akan melantik dua Timbalan Perdana Menteri, masing-masing bagi mewakili BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

- Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, ialah muka baharu yang menganggotai Kabinet, sebagai Menteri Ekonomi.

- Perdana Menteri memaklumkan semua menteri Kabinet yang baru dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada jam 3 petang esok


7.45 malam: Majlis angkat sumpah Senator Dewan Negara dijadual berlangsung di Parlimen jam 8.30 pagi esok.


5.45 petang: Siaran langsung pengumuman Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan jam 5 petang ditunda ke jam 8.15 malam ini.

- Perdana Menteri menerusi Twitter mengumumkan penangguhan itu

Pada mulanya Anwar dijadual membuat pengumuman itu pada jam 5 petang, yang mana pengamal media mula berkumpul di Putrajaya untuk membuat liputan.

Namun, Pejabat Perdana Menteri kemudian memaklumkan ia akan ditangguh ke malam ini.

Tengah hari tadi ketika berucap di majlis jamuan Kenduri Rakyat di Tambun, Perak, Anwar berkata, pengumuman itu dibuat selepas senarai berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para penduduk setempat selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati hari ini. - foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para penduduk setempat selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati hari ini. - foto BERNAMA

"Saya buat keputusan persembahkan (senarai anggota kabinet) kepada Tuanku dan Insya-Allah saya akan umumkan barisan menteri pada petang ini," katanya.


5.10 petang: Kenderaan membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di pekarangan Bangunan Perdana Putra.

Perdana Menteri akan membuat pengumuman Barisan Jemaah Menteri lewat petang ini.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di pekarangan Bangunan Perdana Putra hari ini. Perdana Menteri akan membuat pengumuman Barisan Jemaah Menteri lewat petang ini. - foto BERNAMA
Kenderaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di pekarangan Bangunan Perdana Putra hari ini. Perdana Menteri akan membuat pengumuman Barisan Jemaah Menteri lewat petang ini. - foto BERNAMA


4.30 petang: Pejabat Perdana Menteri memaklumkan pengumuman khas senarai Kabinet akan diadakan secara langsung menerusi YouTube jam 5 petang.

- Selepas pengumuman secara langsung, Perdana Menteri dijangka mengadakan sidang media jam 6 petang


2.20 petang: PM Anwar akan umumkan senarai Kabinet petang ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai menteri Kabinet pada lewat petang ini.

Perkara itu disahkan Anwar ketika berucap pada program Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, dekat Meru Raya, Ipoh.

- Barisan Kabinet akan dipanggil ke mesyuarat khas Isnin ini - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati Ipoh. - Foto NSTP/L Manimaran
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati Ipoh. - Foto NSTP/L Manimaran


12.40 tengah hari: Speaker Dewan Rakyat umum kosongkan jawatan

Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang 19 Disember depan.

Menurutnya, Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember. Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya," katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. - Foto BERNAMA
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. - Foto BERNAMA


12.35 tengah hari: PM Anwar hadir sesi tinjauan mesra di Pasar Tanjung Rambutan

PM Anwar Ibrahim tiba di Tanjung Rambutan, dekat parlimen Tambun bagi lawatan singkat ke kawasan parlimen itu yang dimenanginya pada PRU15 lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun menyantuni orang ramai ketika sesi tinjauan mesra bersama warga Parlimen Tambun di Pasar Awam Tanjung Rambutan hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun menyantuni orang ramai ketika sesi tinjauan mesra bersama warga Parlimen Tambun di Pasar Awam Tanjung Rambutan hari ini. - Foto Bernama

Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu tiba di Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini kira-kira jam 12.15 tengah hari pagi selepas beliau tiba ke Perak melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta ratusan rakyat yang berkunjung ke pasar terbabit yang sebahagian daripadanya kelihatan tidak melepaskan peluang 'menyerbu' untuk bergambar dengan Ahli Parlimen Tambun itu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan bergambar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi menghadap Perdana Menteri di Istana Kinta di sini hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan bergambar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi menghadap Perdana Menteri di Istana Kinta di sini hari ini.


11 pagi: PM Anwar tiba di Istana Kinta, Ipoh

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kinta, Ipoh.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kinta hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kinta hari ini.

Sesi menghadap bermula kira-kira 10.50 pagi dan pertemuan itu berlangsung kira-kira sejam, selepas kenderaan Proton Perdana yang membawa Anwar dilihat keluar dari perkarangan Istana Kinta pada pukul 12 tengah hari.


9.15 pagi: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kira-kira 50 minit selepas dilihat memasuki Istana Negara.

Kenderaan membawa Perdana Menteri ke-10 itu dilihat keluar dari Pintu Utama Istana Negara kira-kira jam 9.15 pagi. Anwar sempat melambai kepada hampir 40 pengamal media yang menunggu di hadapan pintu utama seawal jam 7.30 pagi tadi.

Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong dipercayai untuk mempersembahkan senarai Jemaah Menteri untuk diperkenankan Seri Paduka.


8.22 pagi: Kenderaan membawa Anwar bersama beberapa kenderaan polis pengiring dilihat tiba di perkarangan Istana Negara sebelum masuk melalui Pintu Utama.


Pembentukan Kabinet dijangka diumumkan hari ini bagi membolehkan ahli Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.

Ia dipercayai bagi membolehkan Kabinet dapat dibentuk segera berikutan Yang di-Pertuan Agong dijangka ke luar negara pada Sabtu ini.


7.30 pagi: Pintu utama Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan pengamal media kerana Perdana Menteri dijadualkan mempersembahkan senarai barisan Kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kira-kira 20 pengamal media sudah mula berkumpul di sini, seawal jam 7.30 pagi selepas Anwar dijangka menghadap Agong pada jam 8 pagi. - Foto NSTP/Ezairi Shamsudin
Kira-kira 20 pengamal media sudah mula berkumpul di sini, seawal jam 7.30 pagi selepas Anwar dijangka menghadap Agong pada jam 8 pagi. - Foto NSTP/Ezairi Shamsudin

Kira-kira 20 pengamal media sudah mula berkumpul di sini, seawal jam 7.30 pagi selepas Anwar dijangka menghadap Agong pada jam 8 pagi.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat dan beliau akan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 8 pagi.

"Saya harap (barisan Kabinet) dapat diumum dalam masa dua, tiga hari lagi," katanya pada Majlis Ramah Mesra Reformis di Sungai Long, Kajang, malam tadi.

Berita Harian X