KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan berdepan dilema dalam menentukan senarai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika desas-desus mengatakan pengumuman mengenainya bakal dibuat petang esok.
Selain mengambil kira harapan rakyat, Perdana Menteri juga perlu mempertimbangkan tuntutan daripada rakan Pakatan Harapan (PH) yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan pertama negara.
Hal ini mencetus kekhuatiran dalam kalangan penganalisis politik terutama kelewatan dalam membentuk Kabinet yang boleh melambatkan usaha negara terutama dalam merangka strategi untuk mengharungi kemerosotan ekonomi yang dijangka tahun depan.
Sumber memberitahu New Straits Times (NST), wujud desakan bersepadu daripada Barisan Nasional (BN) supaya Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, ia mendatangkan masalah kepada Anwar berikutan kes perbicaraan rasuah Ahmad Zahid belum selesai di mahkamah.
Beliau berkata, memberikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu jawatan dalam Kabinet akan mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong PH yang lantang mahukan Kabinet Anwar bebas daripada individu berdepan pertuduhan rasuah.
Sumber lain pula mengatakan, perbincangan berhubung portfolio utama juga bukan mudah, termasuklah berhubung jawatan Menteri Kewangan.
Difahamkan, sementara pencabar utama disebut-sebut iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, seorang lagi individu dikatakan melobi jawatan itu sekali gus merumitkan keadaan.
"Tiada siapa mahu berada di tempat Anwar ketika ini. Beliau berdepan tanggungjawab besar, untuk menjaga hati parti dan penyokongnya, namun sedar rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduannya boleh meninggalkan kerajaan baharu sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi," kata sumber itu.
Penganalisis Ekonomi dari Sekolah Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata Kabinet mesti dibentuk sebelum sidang Parlimen ke-15 pada 19 Disember depan.
Beliau berkata, dengan pembentukan Kabinet baharu ia akan membolehkan kerajaan merangka dan membentangkan agenda penting iaitu Bajet 2023, sambil mengakui kerajaan yang stabil penting kepada ekonomi negara membangun.
Ini kerana, katanya, rakyat Malaysia dan seluruh dunia juga sedang menunggu barisan Kabinet dan ia termasuk komuniti perniagaan dalam dan luar negara, terutama mereka yang ingin melabur di negara ini.
"Syarikat multinasional di negara ini sedang mengkaji langkah kerajaan seterusnya kerana ia akan mempengaruhi cara industri merancang pembangunan perniagaan mereka memandangkan tempoh ekonomi yang sukar pada 2023. Oleh itu, mereka ingin tahu apa yang ada di Malaysia," katanya.
Penganalisis Politik, Dr Azmi Hassan, pula Anwar bukan hanya perlu memenuhi keperluan PH terdiri PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), namun beliau juga perlu memenuhi tuntutan BN dan blok Borneo.
"Keperluan parti politik dari Borneo walaupun sangat jelas dan langsung - seperti memulihkan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 - tidak mudah dipenuhi," katanya.
Ahli Ekonomi Sunway University, Prof Yeah Kim Leng, turut berkongsi pandangan sama apabila berpendapat, kelewatan membentuk Kabinet mungkin menimbulkan kebimbangan orang ramai dan pelabur.
"Orang ramai mungkin akan memberi lebih banyak kelonggaran kepada Perdana Menteri baharu selagi barisan Kabinet mencerminkan kestabilan, kecekapan dan perpaduan yang dapat menunaikan janji dan jangkaan yang ditetapkan oleh Anwar sejak pelantikannya," katanya.