PUTRAJAYA: Lebih 17,000 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir kesan Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mereka terdiri daripada seramai 6,397 anggota pasukan perubatan yang berperanan melawat dan memberi rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Daripada jumlah itu, seramai 4,688 anggota Pasukan Kesihatan melakukan pemantauan, pencegahan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.
"Selain itu, seramai 5,964 anggota Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) akan memberi serta menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas.
"Seramai 1,770 anggota Pasukan Penilaian Pantas (RAT) dan Pasukan Tindak Pantas (RRT) pula bertanggungjawab memberi respons bagi mencegah serta mengawal kejadian wabak ketika banjir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir sudah diadakan antara Ibu Pejabat KKM dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).
"Surat Arahan Persediaan Menghadapi Banjir MTL telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri dan institusi KKM sejak 21 September lalu," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, JKN telah mengemas kini maklumat peralatan dan kenderaan serta keperluan logistik lain yang siap sedia untuk digunakan ketika banjir bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.
"Stok bekalan ubatan juga mencukupi di fasiliti kesihatan untuk tiga bulan, dan stok tambahan tiga bulan disimpan oleh pembekal yang sentiasa bersedia untuk digunakan apabila diperlukan KKM.
"Stok bekalan kit ujian RTK-Antigen COVID-19, ubat-ubatan COVID-19 dan vaksin juga mencukupi.
"Selain itu, semua JKN sudah mengenal pasti fasiliti kesihatan alternatif kepada fasiliti kesihatan yang berisiko banjir. Ini bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat jika operasi fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir," katanya.
Bagi menghadapi cabaran banjir serta penularan COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, KKM sudah mengeluarkan Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di PPS Mangsa Bencana sebagai panduan kepada semua agensi serta anggota yang terbabit dalam memberi tindak balas ketika bencana banjir.
"Garis panduan itu memberi penekanan kepada aspek pencegahan COVID-19 di PPS, yang perlu diamal dan diberi perhatian oleh semua penghuni serta agensi bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS.
"Amalan mencuci tangan serta etika batuk dan bersin yang betul perlu diamalkan sepanjang masa. Pemakaian pelitup muka amat digalakkan untuk semua mangsa di PPS dan diwajibkan kepada mereka yang positif COVID-19.
"Mangsa banjir bergejala dan disyaki COVID-19 di PPS perlu menjalani ujian COVID-19 dan diasingkan di tempat khas atau dirujuk ke hospital bagi yang memerlukan isolasi, pemantauan serta rawatan lanjut.
"Langkah ini penting bagi mengelak berlaku kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS," katanya.
Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya peka dengan arahan semasa daripada pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penyakit lain yang sering terjadi ketika musim banjir.
"Elak bermain air banjir, terutama jika mempunyai luka atau masalah kulit, bagi mengelak risiko jangkitan kuman penyakit leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan melioidosis yang tular melalui air banjir yang tercemar," katanya.