PADANG SERAI: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mencadangkan agar calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj untuk menarik diri daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kawasan itu.
Katanya, ini berikutan kedua-dua parti dan gabungan diwakili mereka kini sudah bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sekarang ini PH dan BN berada dalam satu kerajaan, mana-mana pihak nak tarik diri kalau kedua-duanya lagi elok sebab kedua-duanya bertentangan prinsip perjuangan.
"PH (dengan cara) begini, BN (pula) begini, tapi kita PN kekal dengan prinsip perjuangan, saya yakin pengundi Padang Serai sudah celik dan tahu untuk pilih mana yang boleh membela mereka dalam Parlimen nanti," katanya di Pusat Khidmat DUN Lunas di Sungai Seluang, hari ini.
PRU15 Parlimen Padang Serai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Azman, Sofee, Sivaraj, Hamzah Abdul Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).
Azman yang juga ADUN Lunas berkata keputusan beliau meninggalkan PKR pada 11 Mei 2020 dibuat selepas mendapati perjuangan dalam PH tidak selari dan seiring dengan jiwanya.
Katanya, beliau sudah beberapa kali menjelaskan perkara itu termasuk dalam siri ceramahnya sebelum ini.
"Saya ambil keputusan untuk bersama PN, jadi nak berlawan gunalah isu yang baik sikit, yang diterima pengundi. Saya yakin rakyat di bawah khususnya pengundi saya pada 2018 sedar akan keperluan memilih parti yang prihatin, bersih, stabil dan menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum," katanya.
Pada 12 Mei 2020, media melaporkan dua ADUN PKR di Kedah mengumumkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.
Tindakan Azman dan ADUN Sidam, Sungai Petani - Dr Robert Ling Kui Ee menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Kedah sejak 2018.