Khamis, 1 Disember 2022 | 4:33pm
Rukun Negara
Rukun Negara

Lafaz ikrar oleh pemimpin seharusnya dilakukan sejak dulu

KUALA LUMPUR: Cadangan oleh Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-26, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya pemimpin yang dilantik untuk mengetuai lafaz ikrar Rukun Negara dalam mana-mana majlis, disifatkan perkara baik dan satu perkara yang baharu di negara ini.

Malah, ada yang beranggapan, lafaz ikrar Rukun Negara oleh pemimpin itu sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi supaya boleh menjadi teladan yang baik kepada masyarakat.

Felo Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata beliau bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Raja-Raja berkenaan kerana pemimpin seharusnya menunjukkan teladan kepada rakyat dalam menghayati Rukun Negara.

Katanya, cadangan itu bukannya sesuatu yang pelik untuk dilakukan, cuma ia perkara baharu kerana tidak pernah dicadangkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

"Tidak pernah terlintas pun untuk meminta pemimpin mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara. Sebelum ini, lafaz berkenaan dibacakan oleh orang lain, tetapi apabila ia digagaskan atau dicadangkan oleh Majlis Raja-Raja, saya dapati semua pihak berpendapat ia sesuatu yang bernas.

"Ini kerana pemimpin perlu menunjukkan contoh teladan yang baik. Penghayatan serta penerapan dalam setiap prinsip yang diangkat dalam Rukun Negara itu akan lebih bermakna apabila dilakukan oleh pemimpin negara, kalau boleh ketua kerajaan sendiri iaitu Perdana Menteri," katanya kepada BH.

Semalam, Tuanku Muhriz mencadangkan lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis yang bersesuaian.

Baginda turut bertitah supaya lafaz ikrar itu diketuai oleh pemimpin yang dilantik dan bukan lagi dalam kalangan belia yang bersuara lantang.

Titahnya, tindakan itu membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia.

Kok Seong berkata, walaupun cadangan itu dikemukakan selepas 52 tahun Rukun Negara diperkenalkan, ia perkara baik dan tidak pernah terlambat untuk dilaksanakan.

Beliau turut mencadangkan supaya Rukun Negara tidak lagi bersifat hafalan dan bacaan ikrar semata-mata, tetapi ia seharusnya difahami oleh segenap masyarakat di negara ini.

"Kita perlu akui bahawa Rukun Negara ini hanya wujud pada tahap pertama iaitu ingat dan hafal, ia tidak difahami dengan baik atau sebetulnya.

"Mereka (masyarakat) hanya faham beberapa prinsip sahaja bukannya keseluruhan. Contohnya, Kepercayaan Kepada Tuhan, itu mudah difahami, begitu juga prinsip kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

"Namun, yang ketiga dan keempat iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, mungkin mereka tidak berapa faham maksudnya. Prinsip kelima, agak mudah difahami iaitu Kesopanan dan Kesusilaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum adanya Rukun Negara ini, terdapat lima prinsip dalam Aspirasi Nasional dan kebanyakan rakyat tidak mengetahui atau sudah melupakan aspirasi berkenaan.

"Maknanya, mukadimah Rukun Negara itu sudah dilupakan dan rakyat hanya tahu mengenai Rukun Negara, sedangkan lima prinsip Aspirasi Nasional ini adalah untuk kita realisasikan lafaz ikrar berkenaan," katanya.

Sementara itu, berkongsi pandangan yang sama, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata cadangan Tuanku Muhriz itu, baik kerana ikrar ketua kerajaan sebagai Ketua Eksekutif di negara ini, mewakili pemimpin di bawah pimpinan mereka.

"Dalam Islam, ketua kerajaan atau 'amir' mempunyai tanggungjawab yang besar, termasuk memastikan pemimpin lain di bawahnya setia, jujur, ikhlas dan berintegriti," katanya.

Berita Harian X