Khamis, 1 Disember 2022 | 2:59pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor, Izham Hashim (berdiri) menjawab soalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor, Izham Hashim (berdiri) menjawab soalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

50 kawasan berisiko banjir di Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengenal pasti kira-kira 50 kawasan titik panas (hotspot) yang berkemungkinan berdepan dengan risiko banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim, bagaimanapun berkata, jumlah itu bergantung kepada keadaan semasa cuaca dan boleh berubah dari semasa ke semasa.

"Setakat ini, lebih 50 kawasan dikenal pasti, namun banjir juga boleh berlaku di tempat lain.

"Sebab itu, kita ada pengurusan sumber air secara menyeluruh yang perlu dilaksana untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

"Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA), yang berkait dengan longkang dan saliran serta inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) ditekankan dalam pelaksanaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan berhubung jumlah kawasan titik panas banjir di Selangor pada Sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kerajaan negeri menggunakan pam air jenis 'submersible' di kunci air berikutan kapasitinya yang besar.

"Pam ini berkapasiti tinggi dan perlu ditempah enam bulan ke setahun. Penentuan jenis pam bergantung pada keluasan kawasan atau anggaran ramalan air bertakung dan mengalir.

"Biasanya, untuk kawasan sensitif perlu sediakan lebih daripada satu pam sebagai persediaan jika rosak," katanya.

Berita Harian X