Khamis, 1 Disember 2022 | 2:37pm

Kerajaan digesa tidak abaikan pembangunan di semua negeri

KOTA BHARU: Kerajaan digesa supaya tidak mengabaikan pembangunan di semua negeri walaupun berbeza politik.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan perlu mengambil kira konsep federalisme.

"Kepentingan federal dan negeri tidak boleh diabaikan dari aspek pembangunan walaupun berbeza ideologi. Perbezaan ideologi tidak boleh menjadi halangan atau sebab.

"Justeru kita akan sering menggesa perkara ini supaya Kerajaan Pusat memberi penekanan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya terdapat cadangan Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dibuat sebelum musim haji, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, memaklumkan perkara itu adalah kuasa di negeri masing-masing.

"Kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kuasa Sultan selepas mendapat nasihat daripada Menteri Besar.

"PAS ada empat negeri dan kita akan mempertimbangkan banyak faktor termasuk perayaan, musim haji dan sebagainya sebelum keputusan dibuat.

"Kita akan mengambil kira semua pandangan sebelum memutuskan tarikh PRN," katanya.

Takiyuddin (kanan) menyantuni masyarakat setempat pada Majlis Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik AbdullahNik Omar
Takiyuddin (kanan) menyantuni masyarakat setempat pada Majlis Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik AbdullahNik Omar
Berita Harian X