Khamis, 1 Disember 2022 | 2:26pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyantuni masyarakat setempat pada majlis Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyantuni masyarakat setempat pada majlis Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kerajaan sekarang adalah kerajaan minoriti - Takiyuddin

KOTA BHARU: PAS menyifatkan kerajaan baharu sekarang bukannya Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia kerana tiada parti yang mempunyai kerusi cukup untuk membentuk kerajaan.

"Mungkin mereka mempunyai kepercayaan majoriti. Majoriti tidak semestinya majoriti mudah dan boleh jadi majoriti dalam kalangan lain-lain.

"Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) pula mempunyai 73 kerusi. Maka, ketua PH ada majoriti, namun belum boleh membentuk kerajaan.

"Sebab itu saya katakan kerajaan sekarang bukan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti," katanya ketika ditemui selepas Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Ketika ditanya usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, Takiyuddin berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima maklumat berhubung usul berkenaan.

"Bagi saya, apabila seorang Perdana Menteri membawa usul berkenaan ke Parlimen, itu bermakna Perdana Menteri yang sedia ada itu belum mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Dalam perlembagaan untuk melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, orang itu mungkin mempunyai kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

"Sebagai alternatif, Perdana Menteri itu perlu membawa usul ke Parlimen untuk melihat sokongan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, PN akan menjadi pembangkang yang membina kepada rakyat.

"Kita akan melantik beberapa Ahli Parlimen untuk memantau setiap satu kementerian memandangkan kita mempunyai 73 Ahli Parlimen," katanya.

Berita Harian X