Khamis, 1 Disember 2022 | 2:10pm

Pemilihan Speaker agenda utama sidang Dewan Rakyat 19 Disember

PETALING JAYA: Pemilihan Speaker bagi penggal Parlimen baharu menjadi agenda utama apabila Dewan Rakyat bersidang selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Tan Sri Azhar Harun ialah Speaker Dewan Rakyat ketika ini.

Menurut surat jemputan dihantar kepada Ahli Parlimen hari ini, aturan mesyuarat pertama adalah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ini kemudian diikuti sesi angkat sumpah oleh Ahli Parlimen yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pemilihan Timbalan Speaker.

Mesyuarat juga dijangka sesi pengundian undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Azhar yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai 2020.

Pertukaran itu berlaku berikutan perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan diganti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemilihan Azhar dibuat berikutan hanya seorang calon dikemukakan bagi jawatan itu selepas usul mengenainya dikemukakan Muhyiddin.

Bekas Perdana Menteri itu turut memastikan Azhar bersetuju berkhidmat jika dipilih berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Khidmat Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dikekalkan walaupun berlaku perubahan pentadbiran lagi apabila Muhyiddin hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan diganti oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Sebelum ini, Mohamad Ariff yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan, dilantik mengisi jawatan sama ketika era pentadbiran Pakatan Harapan yang menerajui pentadbiran negara selama 22 bulan, mulai 2018.

Azhar Harun ialah Speaker Dewan Rakyat ketika ini. - foto BERNAMA
Azhar Harun ialah Speaker Dewan Rakyat ketika ini. - foto BERNAMA
Berita Harian X