Khamis, 1 Disember 2022 | 1:41pm
Shahidan dan Azman (kiri) berkempen di pasar malam Sungai Karangan sempena PRU15 Padang Serai. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Shahidan dan Azman (kiri) berkempen di pasar malam Sungai Karangan sempena PRU15 Padang Serai. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

'Gelombang penyatuan orang Melayu bagi kelebihan pada calon PN'

PADANG SERAI: Gelombang penyatuan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata beliau yakin gelombang itu kini tidak dapat dibendung lagi berikutan orang Melayu sedar dengan tindakan pucuk pimpinan UMNO yang menggunakan parti untuk kepentingan diri.

"Mereka boleh melakukan apa saja yang mereka mahu, tetapi gelombang perubahan orang Melayu dan Islam tidak dapat dihalang.

"Apa saja yang dibina di luar penyatuan Melayu tidak akan dapat bertahan, justeru kita perlu kembali kepada sokongan Bumiputera Melayu," katanya ketika ditemui ketika mengiringi calon PN, Datuk Azman Nasrudin berkempen di pasar malam di Sungai Karangan di sini malam tadi.

Shahidan berkata, sokongan terhadap PN kini dilihat terus meningkat selepas ahli akar umbi UMNO kecewa dengan tindakan pimpinan yang kini menolak dasar 'No Anwar dan No DAP'.

Katanya, ramai pemimpin UMNO termasuk beliau sendiri dihukum dan pernah diejek di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana mereka menentang arus dengan mempromosikan perpaduan Melayu.

"'No Anwar' 'No DAP' sudah diluluskan dalam PAU dan kemudiannya disahkan Majlis Tertinggi parti. Ia tidak pernah disebut 'Yes Anwar' dan 'Yes DAP'. Ini yang mengecewakan ahli akar umbi UMNO dan orang Melayu yang menyokong UMNO.

"Itulah sebabnya (pada PRU15) di Perlis dan seluruh negara, orang Melayu menolak UMNO dan BN yang membawa kepada PN memenangi banyak kerusi dengan undi majoriti," katanya.

Diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa dasar 'No Anwar dan No DAP' hanyalah untuk menghadapi PRU15 serta bukannya selepas pilihan raya, Shahidan berkata, pemimpin itu sudah mengkhianati ahli parti dan rakyat yang mengundi BN.

"Ia satu tindakan pengkhianatan. Orang Melayu mahu parti yang boleh menyatukan mereka, tetapi UMNO mahu pergi solo (pada PRU15), tetapi kita (PN) sebaliknya membuka jalan kepada perpaduan ummah.

"Jika orang Melayu bersatu, maka masyarakat Cina dan India akan menyokong, tetapi sekarang mereka tidak tahu ke arah mana orang Melayu sedang tuju," katanya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau akan bercakap panjang lebar mengenai pengkhianatan UMNO dan sokongan orang Melayu pada persidangan Parlimen hujung bulan ini.

"Saya tidak mahu sebut nama sekarang, saya akan bercakap panjang dalam sidang Parlimen.

"Saya akan mendedahkan kebenaran mengenai mereka yang menggunakan parti untuk kepentingan peribadi adalah tidak wajar kerana 'No Anwar' dan 'No DAP' adalah perjuangan asas UMNO yang disokong orang Melayu," katanya.

Selain Azman, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon BN, Datuk C Sivaraj, Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).

PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian.

Berita Harian X