IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, dijadual menghadiri program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat, esok dalam kawasan parlimen Tambun yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu dijadual menghadiri program berkenaan di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, dekat Meru Raya, bermula jam 12 tengah hari esok.
Menurut atur cara yang disampaikan melalui Jabatan Penerangan Perak, Anwar dijadual tiba ke program itu kira-kira jam 12.50 tengah hari dan program akan dimulai dengan Solat Jumaat sebelum disusuli kenduri rakyat yang dijangka selesai jam 3 petang.
Turut sama dijadualkan hadir ke majlis itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak.
Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, keputusan PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
PRU15 menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.
Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun dalam pertembungan empat penjuru memperoleh 49,625 undi dengan majoriti sebanyak 3,736 undi, sekali gus menewaskan pencabar utama, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden BERSATU.
Sementara itu, kerajaan negeri Perak terbentuk daripada kerjasama BN dan PH yang bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan negeri melalui konsep 'kerajaan perpaduan' pada 21 November lalu.
Pembentukan kerjasama dua gabungan parti itu memperoleh sokongan 33 ADUN daripada keseluruhan 59 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah 30 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Perikatan Nasional (PN) di Perak menang 26 kerusi diikuti PH (24 kerusi) dan BN, sembilan kerusi.