Khamis, 1 Disember 2022 | 1:31pm
Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (kiri) dan Datuk Khairul Anwar Rahmat.
Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (kiri) dan Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Majlis Raja-Raja perlu diberi lebih peranan dalam pelantikan JAC

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja seharusnya diberi peranan dalam pelantikan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi memastikan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif dan kehakiman dapat mencerminkan tadbir urus lebih baik.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata pembabitan Majlis Raja-Raja dalam menamakan keahlian JAC adalah selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan.

Beliau berkata, pada asalnya kuasa tertinggi kehakiman terletak pada raja Melayu di setiap negeri sebelum raja berkenan menubuhkan Mahkamah Agung pada peringkat Persekutuan dengan berkuat kuasanya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

"Tidak semestinya tiga tempat dalam JAC perlu diagihkan secara khusus setiap satu kepada wakil Majlis Peguam, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah.

"Ada baiknya kuasa melantik itu diberikan kepada Majlis Raja-Raja dengan mengambil kira adanya wakil daripada pengamal undang-undang selepas mengambil kira usul daripada tiga badan berkenaan serta calon dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Raja-Raja sendiri," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencadangkan pelantikan lima daripada sembilan ahli JAC tidak lagi dilakukan Perdana Menteri.

Sebaliknya, titah baginda, pelantikan itu diberi kepada beberapa institusi lain, seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata, titah saranan Tuanku Muhriz itu adalah satu pendekatan yang baik dan tidak mengubah kerangka sedia ada dalam pelantikan hakim di sisi Perlembagaan.

"Ini kerana peranan JAC tidak boleh bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dalam pelantikan hakim yang masih memerlukan Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan MRR.

"Begitu juga pelantikan pesuruhjaya kehakiman yang dibuat Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara," katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat, berkata titah saranan terbabit memerlukan kajian mendalam dan wajar dirunding dengan pihak berkepentingan.

Katanya, titah itu dengan jelas untuk mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri dan perkara itu perlu diperhalusi pengamal undang-undang secara keseluruhannya.

"Penambahbaikan boleh dibuat terhadap proses perlantikan ini iaitu dengan meminda akta di Parlimen dan memasukkan beberapa pengukuhan proses perlantikan supaya ia tidak semata-mata secara pentadbiran.

"Maksudnya mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa Perdana Menteri perlu berunding dengan pihak berkecuali sebelum memutuskan ahli JAC," katanya.

Berita Harian X