Khamis, 1 Disember 2022 | 1:02pm

3 kenderaan terjatuh cerun runtuh awal pagi

SEREMBAN: Tiga kenderaan milik sebuah keluarga yang diparkir setentang dengan rumah mereka di Taman Bukit Berlian, di sini, terjatuh ke cerun sedalam kira-kira 10 meter (m) yang runtuh pada awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, laluan bertar di hadapan deretan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 juga merekah sepanjang 80m dengan kedalaman mencecah 0.6m.

Laluan bertar di hadapan deretan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 turut merekah dalam kejadian awal pagi tadi. - NSTP/AZRUL EDHAM
Laluan bertar di hadapan deretan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 turut merekah dalam kejadian awal pagi tadi. - NSTP/AZRUL EDHAM

Penduduk, Jessica Lee, 28, berkata insiden berlaku ketika beliau sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan suara kecoh dari rumah jiran yang mendakwa ada kenderaan terjatuh ke cerun runtuh.

"Saya segera bangun dan mengejutkan ahli keluarga lain lalu bergegas keluar, namun terkejut apabila mendapati tiga kereta milik kami yang diletakkan di seberang jalan hadapan rumah sudah menggelongsor ke bawah cerun runtuh.

"Kami berasa takut, lebih-lebih lagi jalan turut merekah seperti mahu runtuh. Kami tidak dapat tidur hingga pagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sambil memaklumkan beliau tinggal di rumah itu bersama sembilan ahli keluarga, Jessica berkata, mereka setuju berpindah kerana bimbang akan risiko berlaku runtuhan lagi berikutan cuaca hujan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohammad Idris, berkata pasukannya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.52 pagi tadi.

"Kami tiba enam minit kemudian dan mendapati tiga kenderaan jenis Kia Forte, Honda City serta Toyota Avanza, terjatuh ke kawasan cerun yang runtuh, selain berlaku rekahan pada jalan di hadapan rumah.

"Pihak bomba masih melakukan tinjauan, pagi tadi, dan agensi lain yang terbabit juga berada di lokasi bagi memantau serta mengenal pasti situasi pergerakan tanah," katanya.

Mohammad berkata, cerun itu sedalam kira-kira 10m, manakala runtuhan dan rekahan yang berlaku dianggarkan sepanjang 80m.

"Berdasarkan pemerhatian awal, enam rumah berkemungkinan terjejas dan berisiko akibat kejadian ini.

"Namun, kesemua 12 keluarga yang tinggal di jalan berkenaan telah diarah mengosongkan kediaman masing-masing.

"Mereka setuju berpindah, dan kami difahamkan pihak kerajaan negeri akan membuka sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) untuk penduduk yang memerlukan.

"Cuaca hujan ketika ini dan kami bimbang jika berlaku pergerakan tanah lagi. Justeru, kami meminta semua penduduk untuk memberi kerjasama," katanya.

Sementara itu EXCO Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong pula berkata kerajaan negeri akan mendapatkan peruntukan kecemasan bagi membaik pulih cerun runtuh itu, dalam masa terdekat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah diarah membuat penilaian tahap risiko kawasan itu.

"Berdasarkan pemerhatian saya, kawasan ini tidak sesuai diduduki buat sementara waktu kerana ia berisiko. Sebagai langkah awal, kita akan menyediakan PPS untuk penduduk.

"Kerajaan negeri akan sedaya upaya membantu dari segi penginapan dan untuk jangka panjang, kami bercadang menyediakan 'homestay' (inap desa) bagi kemudahan penduduk," katanya ketika ditemui di lokasi, pagi tadi.

Mohammad (kiri) meninjau kejadian tiga kenderaan terjatuh ke cerun runtuh di Taman Bukit Belian, awal pagi tadi. - NSTP/AZRUL EDHAM
Mohammad (kiri) meninjau kejadian tiga kenderaan terjatuh ke cerun runtuh di Taman Bukit Belian, awal pagi tadi. - NSTP/AZRUL EDHAM
Berita Harian X