Khamis, 1 Disember 2022 | 12:43pm
Muhammad Fathi Na’im dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/FATHIL ASRI
Muhammad Fathi Na’im dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/FATHIL ASRI

Usah sensasikan kes penceramah bebas - Hakim

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan kes penceramah bebas Fathi Naim yang sekali lagi didakwa hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Tertuduh yang nama sebenarnya Muhammad Fathi Na'im Mazlam, 30, sebelum ini didakwa dengan sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap mangsa sama di Mahkamah Sesyen Klang.

Hakim Tasnim Abu Bakar memberikan peringatan itu pada prosiding hari ini selepas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

"Tertuduh, peguam dan mana-mana pihak diminta tidak mensensasikan kes ini dalam media sosial," katanya.

Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah merogol mangsa di sebuah hotel, di sini, antara jam 2 dan 10 pagi 3 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh, menawarkan ikat jamin RM15,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan, iaitu dia dilarang mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun peguam bela, Muhammad Ashraff Mohd Diah, memohon wang jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya menanggung tiga isteri dan lapan anak.

Beliau berkata, Muhammad Fathi Na'im hilang punca pendapatan apabila kontraknya dengan sebuah stesen televisyen sudah ditamatkan.

Hakim turut membenarkan semua syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan dan menetapkan sebutan kes pada 17 Januari tahun depan.

Berita Harian X