Khamis, 1 Disember 2022 | 11:45am

Mercedes Benz, BMW antara kereta rosak dihempap bumbung runtuh akibat ribut

JOHOR BAHRU: Kereta mewah Mercedes Benz, BMW, Volkswagen dan Mini Cooper antara lebih 20 kenderaan di sebuah kedai kereta terpakai di Batu 3, Kampung Pasir, Tampoi, di sini, yang rosak apabila bumbung premis itu runtuh akibat ribut, semalam.

Pekerja pusat jualan kereta berkenaan, Bohari Ahmad, 49, berkata ribut buruk itu kali pertama berlaku di lokasi terbabit sejak kedai berkenaan dibuka awal 1990-an.

Katanya, ketika angin kuat dan hujan lebat melanda, dia bersama lapan pekerja berada di pejabat sebelum mereka terdengar bunyi dentuman sangat kuat, kira-kira jam 4 petang.

"Apabila keluar, saya lihat bumbung runtuh. Ketika itu angin bertiup kencang dan berpusing berserta hujan lebat. Memang takut, saya terus azan dan arahkan semua pekerja keluar dari pejabat kerana kedudukan terlalu hampir dengan bumbung premis yang runtuh," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, terdapat kira-kira 100 kereta mewah di pekarangan kedai, setiap sebuah berharga antara RM80,000 hingga lebih RM100,000.

"Kalau ikutkan, lebih 20 kereta dihempap besi bumbung yang runtuh akibat angin kencang, rosak pada badan kereta, cermin pecah, tayar dan sebagainya. Kerugian dianggarkan jutaan ringgit," katanya menambah turut rosak adalah tiga bangunan menyimpan kereta terpakai.

Kejadian ribut dan hujan lebat petang semalam turut menjejaskan lebih 60 kediaman di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, di sini.

Antara kereta mewah terpakai yang rosak dihempap bumbung runtuh akibat ribut di Batu 3, Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru, semalam, - NSTP/OMAR AHMAD
Antara kereta mewah terpakai yang rosak dihempap bumbung runtuh akibat ribut di Batu 3, Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru, semalam, - NSTP/OMAR AHMAD
Berita Harian X