Khamis, 1 Disember 2022 | 12:11am
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kiri) berkenan melawat tapak pameran pada Majlis Malam Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) dan Bakat Islamic Fashion Festival (IFF) 2022 di Wisma Perwira malam ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kiri) berkenan melawat tapak pameran pada Majlis Malam Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) dan Bakat Islamic Fashion Festival (IFF) 2022 di Wisma Perwira malam ini.

Raja Permaisuri Agong berangkat ke Malam Amal BAKASA BAKAT ATM IFF 2022

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Malam Amal Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Dewan Perkasa Wisma Perwira, ATM, di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada jam 8.30 malam disambut Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah, yang juga isteri kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Tunku Azizah kemudian berkenan merakam foto kenangan bersama tetamu kerabat diraja yang turut berangkat hadir antaranya Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sesi bergambar juga diteruskan bersama pereka fesyen yang terbabit dalam pertunjukan itu, antaranya Rizman Ruzaini, Calvin Thoo, Nurita Harith, Rozita Che Wan dan koleksi pengasas IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah serta pereka fesyen dari Indonesia, Jeny Tjahyawati dan Ghea Panggabean.

Tunku Azizah turut berkenan melawat gerai yang mempromosikan produk industri kecil dan sederhana hasil tangan ahli BAKAT yang kebanyakannya isteri anggota dan pegawai ATM.

Malam Amal BAKASA dan BAKAT IFF 2022 adalah hasil inisiatif Tengku Muhaini, yang juga Penasihat Diraja BAKASA, berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.2 juta untuk disumbangkan kepada dua pertubuhan kebajikan BAKASA iaitu Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan dan Pusat Inovasi Tengku Ampuan Afzan, serta untuk tujuan Program Transformasi BAKAT ATM. – BERNAMA

Berita Harian X