Rabu, 30 November 2022 | 10:03pm
MCMC dan PDRM memanggil pengurusan TikTok tampil memberi penjelasan berhubung penyebaran berbaur provokasi di aplikasi itu.
MCMC dan PDRM memanggil pengurusan TikTok tampil memberi penjelasan berhubung penyebaran berbaur provokasi di aplikasi itu.

MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok, video provokasi berbayar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil pengurusan TikTok dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan berhubung penyebaran klip video berbaur provokasi.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, terdapat tiga klip video mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969, yang tersebar di laman sosial itu ketika ini adalah kandungan berbayar seperti dilaporkan sebuah portal berita.

"Penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat untuk mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain, adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab, yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal ehwal berkaitan dengan agama dan kaum," jelas MCMC.

Dalam pada itu, MCMC dan PDRM akan mempertingkatkan usaha mengekang penyebaran video yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Bagi memastikan kandungan ini tidak tersebar luas, sila ambil langkah berikut. Jangan kongsi dan sebar, jangan panjangkan kandungan itu ke platform media sosial lain serta laporkan kepada pihak berkuasa jika menerima kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman," katanya.

Sekiranya terdapat unsur sedemikian, katanya, pengguna media sosial perlu segera melaporkan kepada MCMC melalui portal MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/ atau hubungi talian aduan 1800-188-030.

Orang ramai juga boleh membuat laporan menerusi WhatsApp di talian 016 2206 262 atau menerusi e-mel [email protected] dan pautan https://sebenarnya.my/salur/.

Berita Harian X