PELABUHAN KLANG: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merancang untuk membina sebuah pusat pelupusan al-Quran baharu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi meningkatkan keupayaan melupuskan naskhah suci itu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam, yang beroperasi di Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, di ibu kota ketika ini, hanya berupaya melupuskan 150 kilogram (kg) naskhah al-Quran yang rosak, dalam masa sehari.
Beliau berkata, dengan adanya pusat pelupusan baharu, keupayaan melupuskan naskhah suci boleh dipertingkatkan sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar sedia ada, iaitu sehingga sekitar setengah tan sehari menggunakan teknologi moden.
"Jika ia diluluskan dan ada peruntukan, proses pelupusan akan menjadi lebih pantas, menggunakan teknologi yang lebih maju dan bukan secara manual.
"Pembinaan pusat pelupusan ini masih dalam perancangan dan kita akan utarakan ke pihak atasan untuk dapatkan kelulusan bajet dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Program Pemuliaan al-Quran JAWI Bersama Jabatan Laut, di sini, hari ini.
Sebanyak 6.8 tan abu al-Quran, yang sudah dimampatkan dalam bentuk bongkah dibawa menaiki kapal MVPEDOMAN untuk dilupuskan di tengah lautan, kira-kira 12 batu nautika dari Pelabuhan Klang.
Mohd Ajib berkata, abu itu terhasil daripada lebih 30,800 kg naskhah al-Quran yang rosak atau musnah, kebanyakannya akibat banjir di sekitar Pahang dan Selangor pada tahun lalu.
"Kita mempunyai tatacara untuk mengendalikannya, seperti prosedur yang diberikan dalam satu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-30, yang bersidang pada 22 Ogos 1992.
"Muzakarah itu mencadangkan al-Quran yang rosak, dibakar, ditanam atau dilupuskan di tengah laut, yang mana airnya mengalir," katanya.
Pelupusan abu ayat suci itu dikendalikan oleh Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam, dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). - BERNAMA