Rabu, 30 November 2022 | 5:23pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan November 2022 di Putrajaya semalam. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan November 2022 di Putrajaya semalam. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PM wajar laksana MoU dengan parti penyokong elak gugat kestabilan kerajaan

KUALA LUMPUR: Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti atau gabungan memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan sehingga Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Akhirnya, pada Khamis lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 apabila Yang di-Pertuan Agong pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan sokongan secara 'enbloc' daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (WARISAN) serta beberapa pihak lain memberi Anwar kelebihan majoriti dengan lebih dua pertiga di Parlimen.

Biarpun Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai penyelesaian kepada situasi Parlimen tergantung yang dihadapi negara pasca PRU15, konsep itu dianggap rapuh dan tetap berisiko mengundang ketidakstabilan jika tiada usaha dilakukan untuk memperkasakannya.

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berpandangan Anwar berdepan tugas berat untuk memastikan kelancaran pentadbirannya kerana situasi Kerajaan Perpaduan berbeza dengan kerajaan majoriti yang dimenangi sesebuah gabungan.

Jelasnya, kaedah diguna pakai dalam pelantikan anggota Kabinet sebelum ini sudah tidak boleh digunakan untuk memastikan kekuatan ikatan dalam kalangan parti gabungan menjadi lebih kuat.

"Sudah pasti selepas ini akan ada pembentukan Kabinet dan ia tidak boleh berdasarkan nisbah kepada bilangan kerusi dimiliki PH atau GPS semata-mata. Ia mesti berubah, misalnya daripada blok yang sedikit, perlu diberikan ruang yang banyak dalam Kabinet.

"Maka dengan kaedah itu dapat mengikat Ahli Parlimen daripada BN sebagai contoh, untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk Perdana Menteri," katanya kepada BH.

Beliau berkata, jika ikatan antara parti politik yang menyokong Anwar terlerai, Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya berisiko untuk tumbang seperti mana yang berlaku di luar negara.

Konsep Kerajaan Perpaduan pernah dipraktikkan di beberapa negara antaranya Itali, Greece, Afghanistan, Kenya dan Indonesia bagi memecah kebuntuan kepada ketidakstabilan politik yang dialami.

Namun, konsep terbabit tidak memihak kepada Itali apabila Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pada Februari 2021 dan dipimpin Perdana Menteri Mario Draghi hanya mampu bertahan selama 18 bulan.

Kerajaan pimpinan Draghi tumbang pada Julai lalu selepas tiga daripada rakan pakatannya menarik sokongan mereka dalam undi percaya sehingga memaksa Perdana Menteri itu menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden, Sergio Mattarella.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, keadaan serupa boleh berlaku di Malaysia terutama ketika UMNO bakal berdepan dengan pemilihan parti itu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Katanya, apa yang dibimbangi adalah jika pemilihan UMNO tidak memihak kepada presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat amat 'akrab' dengan Anwar.

"Bagi saya selain daripada ikatan menerusi jawatan Kabinet itu sendiri, kena ada satu perjanjian persefahaman (MoU) atau perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) terbuka dan jelas yang boleh dilihat oleh rakyat.

"Ini bagi memastikan supaya Ahli Parlimen yang ingin bertukar arah, berfikir dua kali supaya mereka malu kepada rakyat yang memilih mereka dan tidak sewenang-wenangnya bertukar parti sehingga meruntuhkan kerajaan.

"Jika dahulu, CSA antara kerajaan dan pembangkang tetapi bagi saya tidak ada masalah kita perkenal CSA dalam kalangan komponen parti kerajaan itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berpandangan Anwar perlu memupuk persefahaman dan kerjasama mantap dengan parti yang bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, paling mustahak ialah Anwar perlu mendengar, meraikan dan tidak boleh bersifat Perdana Menteri yang berpaksi kepada PH semata-mata.

"Cabarannya adalah bagaimana nak menguruskan perbezaan pandangan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan ini kerana parti yang menganggotai kerajaan ketika ini asalnya adalah musuh politik dan tentunya mereka mempunyai pandangan berbeza.

"Jadi Anwar mesti memupuk kerjasama yang mantap, tidak perlu melayani kehendak individu atau pertubuhan tertentu misalnya BERSIH yang menolak pelantikan menteri kalangan mereka yang ada kes mahkamah.

"Apa hak BERSIH untuk menentukan? Sedangkan dalam sistem mahkamah, sistem keadilan kita ini, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah," katanya.

Berita Harian X