KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, hari ini.
Mesyuarat hari ini sekali lagi dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Mesyuarat selama dua hari bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lepas yang dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat ke mesyuarat hari ini ialah Tuanku Syed Sirajuddin; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.
Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut hadir mesyuarat itu.
Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua Menteri, kecuali Sarawak diiringi Timbalan Premier. – BERNAMA