Selasa, 29 November 2022 | 8:43pm

Siasatan dakwaan Anwar ejen Israel babitkan Ahli Parlimen Baling

KUALA LUMPUR: Polis membuat penjelasan menerima laporan berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad terhadap Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Katanya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Awal hari ini, polis mengeluarkan kenyataan berhubung perkara sama tetapi menyatakan siasatan itu membabitkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan dengan itu, berita berkaitan kes itu yang disiarkan oleh BH Online sebelum ini ditarik balik.

Hari ini, Anwar menghantar surat tuntutan kepada Hassan dan memberi masa tiga hari supaya menarik balik dengan serta-merta kenyataan dan audio fitnah mengaitkan pelantikannya dengan pengaruh Israel.

Anwar yang mengemukakan surat tuntutan (LOD) melalui firma guaman SN Nair & Partners hari ini, turut menuntut Hassan membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan peguam beliau serta disiarkan dalam akhbar dan media pilihannya.

Selain itu, Hassan diminta mengemukakan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam perkataan serta audio memfitnah berkenaan.

Berita Harian X