Selasa, 29 November 2022 | 8:30pm
LRT Laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal akibat disambar petir. - Foto hiasan
LRT Laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal akibat disambar petir. - Foto hiasan

LRT Laluan Kelana Jaya alami gangguan lagi

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sekali lagi mengalami gangguan hari ini, dipercayai akibat gangguan teknikal.

Pengendali perkhidmatan itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), dalam satu kenyataan, memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan kini sedang menjalankan kerja baik pulih.

Rapid Rail menyebut, gangguan itu berpunca daripada Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang atau 'Passenger Intruder Emergency System (PIES), di Stesen LRT Kerinchi, yang teraktif (activated) secara tiba-tiba disyaki akibat disambar petir menyebabkan tren dari kedua dua arah tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

"Gangguan berlaku pada jam 5.46 petang dan ketika ini, kakitangan teknikal berada di lokasi bagi menjalankan kerja baik pulih.

"Akibat daripada gangguan itu, semua tren yang melalui kawasan berkenaan terpaksa dipandu secara manual. Ini mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan platform di beberapa stesen," menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma bagi membawa penumpang dari Stesen LRT Bangsar ke Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Pasar Seni.

Selain itu, katanya, kakitangan operasi dan polis bantuan juga ditempatkan di platform bagi mengendalikan orang ramai.

Rapid Rail menyebut, pihaknya membuat pengumuman berhubung perkara itu menerusi laman media sosial Rapid KL, di stesen dan di dalam tren untuk makluman pengguna.

Sebelum ini, operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung pada 9 hingga 15 November, menjejaskan lebih 1.4 juta pengguna perkhidmatan itu.

Berita Harian X