Selasa, 29 November 2022 | 5:36pm
Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub (kiri) dan Setiausaha Agung, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dr Muhammad Razak Idris pada pogram Podcast BH Semang Keras di Studio NSTP. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN
Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub (kiri) dan Setiausaha Agung, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dr Muhammad Razak Idris pada pogram Podcast BH Semang Keras di Studio NSTP. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN

Anwar perlu tampilkan `Kabinet perang', tiada pemimpin kontroversi

KUALA LUMPUR: Barisan Jemaah Menteri yang bakal mengisi pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu berperanan sebagai 'Kabinet perang' dalam berdepan cabaran ekonomi yang diramal lebih dahsyat, tahun hadapan.

Atas dasar itu, beberapa penganalisis politik berpendapat, Kabinet yang dibentuk perlulah berkualiti, sekali gus tiada lagi 'penunggang' yang sekadar menempel sebagai menteri, namun tidak berupaya mencapai prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan.

Mereka berpendapat, saiz paling ideal haruslah separuh daripada barisan 32 Jemaah Menteri yang diisi dalam slot pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dr Muhammad Razak Idris, berkata dalam keadaan yang mana rakyat sedang memerhatikan kepemimpinan Anwar, pihaknya berharap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak mengetengahkan pemimpin yang ada kontroversi dan terpalit dengan isu berkaitan integriti.

"Pemimpin yang sedang berdepan dengan pelbagai isu tidak harus diketengahkan bagi mengelakkan rakyat berdepan krisis keyakinan terhadap politik.

"Kita perlukan keyakinan itu kerana tanpanya kita boleh berdepan huru-hara atau langkah yang boleh mengancam kestabilan Kerajaan Perpaduan," katanya kepada BH.

Sebelum ini, Perdana Menteri memberi jaminan pembentukan Kabinet akan diselesaikan dalam kadar segera selepas mendapat pandangan semua pihak, termasuk daripada parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU15).

Pada masa sama, Muhammad Razak, yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), berkata pembentukan Kabinet itu juga perlu menyaksikan suatu keseimbangan daripada semua perwakilan parti bagi mengelakkan pemberontakan dalam kalangan parti komponen.

Beliau berkata, dalam PH sendiri, pihaknya melihat tiga pemimpin utama dalam parti komponennya, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, wajar diberikan peranan dalam Kabinet kelak.

"Mereka sebelum ini terbabit dalam penggubalan dasar di peringkat parti dan perlu diberi peluang menjana idea baharu dalam berdepan keadaan rumit kelak.

"Selain itu, pemimpin yang pernah berkhidmat sebagai menteri dalam kerajaan PH, pasca PRU14 walaupun tewas dalam pilihan raya kali ini seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Dr Maszlee Malik juga perlu diberikan kesempatan mengemudi kementerian tertentu," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata sebagai panglima dalam 'Kabinet perang' yang mendapat perhatian pemimpin dunia, Perdana Menteri perlu memastikan barisan Jemaah Menterinya setaraf dengan imej beliau, khususnya dalam aspek komitmen dan perjuangan.

"Selepas Anwar mengangkat sumpah, beliau mendapat panggilan telefon daripada pemimpin daripada pelbagai negara. Beliau dilihat sebagai jaguh antarabangsa, jadi, masakan menteri yang dilantik bertaraf jaguh kampung sahaja.

"Justeru, ganjaran politik dengan pelantikan sebagai menteri perlu diketepikan, demi memastikan barisan Kabinet nanti benar-benar berfungsi dalam berdepan perang ekonomi dan politik," katanya.

Ditanya sama ada perlu melantik wakil teknokrat dalam Kabinet bersaiz kompak itu, Mohammad Tawfik berkata, ia boleh dilakukan asalkan pemimpin itu mempunyai jiwa politik yang peka dengan rintihan rakyat.

"Seperti lantikan teknokrat dalam pentadbiran terdahulu dalam Kementerian Kewangan, saya tidak berasakan menteri itu merasai kesukaran rakyat berdasarkan beberapa tindakan yang diambil," katanya.

Mengenai lantikan menteri berdasarkan hierarki parti, beliau berkata, pemimpin politik tidak boleh merasionalisasikan pegangan itu bagi 'menghalalkan' lantikan presiden parti walaupun berdepan kes di mahkamah.

Berita Harian X