Selasa, 29 November 2022 | 4:53pm

Perolehan melalui tender elak salah laku, kronisme

KUALA LUMPUR: Tata kelola kerajaan baharu yang tidak lagi membenarkan sebarang kelulusan perolehan tanpa melalui proses tender mampu menghentikan salah laku serta amalan kronisme.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pengurniaan tender secara runding terus mempunyai kelemahan kerana ia mendedahkan kepada isu salah guna kuasa dan rasuah.

"Bagaimanapun, tender secara runding terus ini dibenarkan dalam Perbendaharaan tetapi hanya untuk tender tertentu sahaja dan pemberiaannya perlu diperhalusi dan dipertimbangkan dengan teliti," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bahawa kerajaan tidak lagi mengizinkan sebarang kelulusan perolehan tanpa melalui tender.

Menyambut baik langkah itu, Azam berkata perkara itu wajar diberi perhatian oleh semua pihak.

"Dalam peraturan arahan Perbendaharaan sememangnya sudah menyediakan proses yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

"SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah serta Kementerian Kewangan (MOF) turut melancarkan 'integriti pack' (saringan integriti dan surat akuan menolak elemen rasuah) yang memerlukan pemohon tender membuat ikrar tidak terbabit rasuah untuk mendapatkan tender kerajaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Noor Mohamad Shakil Hameed berkata pengumuman Perdana Menteri semalam dinantik-nantikan kerana tender secara rundingan menjadi antara punca jenayah rasuah yang sukar ditangani.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu harus dihayati semua pihak dan bukannya retorik semata-mata, khususnya apabila lantikan Kabinet dilakukan.

"Seperti kita ketahui, pemberiaan tender dilakukan di peringkat kementerian dan semua pihak termasuk menteri Kabinet perlu memastikan hasrat Perdana Menteri ini direalisasikan sepenuhnya agar tiada campur tangan politik yang akhirnya memberi kesan kepada penjawat awam itu sendiri.

"Kabinet yang dilantik perlu berusaha untuk tidak mengganggu urusan pentadbiran penjawat awam yang akan melaksanakan kerja dan tindakan mengikut peraturan dan arahan yang ditetapkan," katanya.

Berita Harian X