PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Putrajaya membuat laporan polis berhubung laporan yang didakwa sebagai fitnah apabila mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Menamakan seorang individu serta satu akaun Facebook yang dikaitkan dengan sebuah parti politik, Ketuanya, Mohamad Syazreen Ezam Mohd Saidi, berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan berikutan ia membabitkan kedaulatan serta keselamatan negara.
Beliau berkata, sebaik Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 minggu lalu, pihaknya melihat tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap pemimpin nombor satu negara itu terus berpanjangan selain memainkan sentimen perkauman dan agama.
"Tuduhan fitnah ini mengatakan beliau mendapat pertolongan dan bantuan daripada Israel untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
"Justeru, AMK Putrajaya menggesa pihak polis segera membuka kertas siasatan agar perbuatan itu dihentikan.
"Ia tuduhan yang tidak masuk akal, tidak berasas dan perlu dihentikan segera serta diambil tindakan," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di Balai Polis Presint 7, tengah hari tadi.
Mohamad Syazreen Ezam berkata, siasatan perlu dilakukan bagi mengelakkan ia berterusan serta mengganggu gugat kelancaran perkhidmatan Perdana Menteri.
Menyentuh mengenai dakwaan berkenaan, beliau berkata, sebelum ini tukar dalam aplikasi WhatsApp satu klip audio seorang penceramah yang mendakwa Anwar mendapat pertolongan daripada Israel manakala akaun Facebook berkenaan mendakwa kononnya Anwar adalah ejen Israel.
Beliau berkata, selain dua individu berkenaan, pihaknya menggesa polis menyiasat sesiapa saja yang menyebarkan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
"Setakat ini, kami berjaya kepilkan dua pihak ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berkenaan.