Selasa, 29 November 2022 | 3:48pm
Azman (kanan) bertemu penduduk ketika berkempen di Kampung Nesa hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Azman (kanan) bertemu penduduk ketika berkempen di Kampung Nesa hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Kerajaan zina: 'Saya rujuk ketidakrelaan penyokong akar umbi UMNO' - Azman Nasrudin

PADANG SERAI: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin memaklumkan beliau sudah memberi keterangan di Balai Polis Kulim Hi-Tech malam tadi berhubung kenyataannya mengenai 'kerajaan zina'.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, bagaimanapun menafikan kenyataannya itu menghina institusi diraja.

"Kenyataan itu saya merujuk kepada Kerajaan Persekutuan yang dibentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) iaitu ketidakrelaan penyokong akar umbi UMNO.

"Saya agak kasar sedikit pada malam itu sebab kerajaan baru tertubuh. Kita tengok pemimpin UMNO sanggup menjual perjuangan UMNO dengan murahnya. Jadi itulah saya rujuk sebagai yang saya sebut (kerajaan zina).

"Malam tadi saya sudah bagi keterangan kepada pihak polis," katanya ditemui selepas berkempen di Kampung Nesa, hari ini.

Terdahulu, Azman dilaporkan berkata, beliau yakin ada isyarat jelas penolakan terhadap PH dan BN, susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disifatkannya sebagai 'kerajaan zina'.

Ketika berkempen malam kelmarin, Azman berkata, 'perkahwinan' PH dan BN itu tidak direstui sebahagian pimpinan dan ahli pada peringkat akar umbi.

Difahamkan, terdapat kepimpinan PH yang sudah membuat laporan polis berkaitan kenyataan Azman itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas itu berkata, kenyataan dikeluarkan beliau bukan bermaksud pihaknya tidak akur dengan keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan perpaduan.

"Soal kerajaan perpaduan kerajaan campuran itu cerita lain. Kami di PN akur dengan keputusan dibuat baginda.

"Saya sebenarnya merujuk kepada resolusi yang UMNO buat, tetapi kemudian melanggar resolusi mereka sendiri, jadi ahli UMNO di bawah kecewa serta marah.

"Kenapa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sanggup menjual perjuangan UMNO, itu kena tanya dia, adakah dia nak melepaskan diri daripada kes mahkamah," katanya.

Selain Azman, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon BN, Datuk C Sivaraj, Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abd Rahman (PEJUANG),Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian.

Berita Harian X