KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menghentikan pertikaian politik berikutan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dilantik Perdana Menteri ke-10, kata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, perkara paling penting sekarang bukan saja memperkukuh perpaduan nasional , tetapi juga melakukan rekonsiliasi nasional.
Katanya, usaha juga perlu untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat kepada rakyat dan negara.
"Tumpuan sekarang adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat dan negara, jadi kita perlu perpaduan nasional serta rekonsiliasi nasional.
"Justeru sekarang juga adalah masa untuk menghentikan pertikaian, memperkasakan muafakat dan kerjasama," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menegaskan, pelantikan Anwar tidak wajar dipertikaikan kerana proses pelantikan sudah selesai dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Perdana Menteri yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Katanya, menerusi suatu proses pemulihan, ia bukan saja dapat membangkitkan semula keutuhan dan kekuatan negara serta bangsa, tetapi mampu mendepani cabaran ekonomi, sosial dan politik global yang kian mencabar.
"Marilah kita bersama mendoakan supaya 221 ahli Parlimen yang terpilih itu akan menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.
"Semoga Parlimen Malaysia menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara kita dengan nilai dan etika anggotanya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia. Selamat bersidang," katanya.
Khamis lalu, Anwar memaklumkan, sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 19 Disember ini.
Katanya, selain usul kerajaan, pihaknya akan mengemukakan usul percaya di Parlimen bagi menepis segala dakwaan terhadap keabsahan pimpinannya.
"Usul pertama adalah usul undi percaya di Parlimen dan bagi saya tidak timbul soal keabsahan yang ada," katanya pada sidang akhbar pertamanya sebagai Perdana Menteri.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, satu sesi sidang khas Parlimen perlu diadakan bagi membentangkan belanjawan khas atau mini Bajet 2023 antaranya untuk membayar gaji penjawat awam sebelum 31 Disember.
Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober lalu oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion, manakala Parlimen dibubarkan tiga hari selepas itu bagi memberi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang kemudian diadakan pada 19 November.