KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang memperlihatkan tidak ada parti politik mendapat majoriti adalah isyarat jelas khususnya kepada pemimpin supaya mengurangkan 'politiking' dengan tumpuan sepenuhnya wajar diberi kepada usaha membangunkan negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata keputusan pilihan raya itu turut memberi ruang kepada rakyat Malaysia mendidik diri mereka menerima hakikat keperluan untuk saling memahami dan bertolak ansur walaupun mempunyai fahaman politik berbeza.
"Saya fikir keputusan Pilihan Raya 2022 ini tidak sepatutnya menjadikan keadaan huru hara sebab yakin rakyat Malaysia sudah membuat keputusan.
"Walaupun kita tahu tidak ada satu parti boleh tubuh kerajaan, ini barangkali keputusan yang memberi ruang untuk rakyat Malaysia menerima hakikat untuk saling memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain dengan paling penting, perlu bersatu bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada pembangunan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Editor bersama Menteri Besar Perak di Hotel St Regis, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin.
Ketika ditanya kesediaannya mengambil langkah sama dengan mengetepikan perbezaan politik terutama selepas penubuhan kerajaan campuran di Perak, beliau komited untuk menunjukkan teladan yang baik kepada semua pimpinan kerajaan negeri.
"Sebagai menteri besar, saya perlu beri contoh baik. Saya berusia 61 tahun dan sudah enam penggal jadi wakil rakyat, saya belajar daripada pengalaman.
"Pada mesyuarat EXCO yang pertama, saya beritahu semua EXCO untuk ketepikan perbezaan. Walaupun kita sudah berdebat, ada yang mencerca barangkali lawan kita, tetapi sekarang fokus adalah untuk pembangunan negeri.
"Jika menteri besar sanggup buat seperti itu, saya harap yang lain akan ikut," katanya.
Beliau berkata, tidak timbul soal 'pilih bulu' dalam pentadbirannya dengan amalannya sejak dulu adalah memberikan peruntukan sama rata termasuk bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
"Sejak dulu lagi saya jadi menteri besar, saya beri peruntukan sama rata kepada ADUN kerajaan dan pembangkang. Dulu ADUN DAP dapat peruntukan sama rata sebab pegangan saya, rakyat berhak dapat peruntukan sama daripada kerajaan.
"Jadi tidak ada masalah dalam bajet nanti, kita akan bacakan apa yang sudah diputuskan kerana keikhlasan untuk bangunkan negeri," katanya.